Mahkamah Tinggi 16 April lalu menolak permohonan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long, untuk memberi keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh dalam prosiding sivil yang sedang berjalan.
Hakim Leong Wai Hong dalam penghakimannya menegaskan bahawa permohonan tersebut tidak mematuhi prosedur undang-undang kerana hanya dikemukakan melalui sepucuk surat tanpa disokong Notis Permohonan dan afidavit bersumpah. Mahkamah memutuskan bahawa tanpa keterangan bersumpah, tiada permohonan yang sah di sisi undang-undang, sekali gus menyebabkan ia ditolak .
“Tanpa pernyataan bersumpah, permohonan itu tidak boleh diterima. Permohonan bagi keterangan melalui teknologi jarak jauh perlu difailkan secara formal dan disokong oleh afidavit,” kata hakim dalam alasan penghakimannya.
Bagaimanapun, mahkamah turut meneliti alasan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, termasuk kebimbangan keselamatan yang didakwa menjadi asas permohonan tersebut.
Victor Chin sebelum ini mendakwa beliau berada di luar negara atas faktor keselamatan, susulan liputan media meluas dan dakwaan awam yang mengaitkannya dengan sindiket “mafia korporat”. Beliau juga menegaskan permohonan itu dibuat dengan niat baik dan bukan untuk melengahkan prosiding, sebaliknya bagi memastikan beliau tetap dapat mengambil bahagian dalam perbicaraan.
Namun, mahkamah berpendapat alasan tersebut tidak disokong oleh bukti kukuh. Hakim menyatakan bahawa kebimbangan terhadap keselamatan diri hanyalah dakwaan semata-mata tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa, termasuk ketiadaan laporan rasmi yang menunjukkan nyawanya berada dalam bahaya sekiranya kembali ke Malaysia.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa tiada waran tangkap atau pertuduhan jenayah dikenakan terhadap beliau setakat ini.
Permohonan itu difailkan melalui surat bertarikh 8 April oleh peguam Victor Chin yang memohon agar beliau dibenarkan memberi keterangan melalui aplikasi Zoom. Namun, mahkamah menegaskan bahawa keperluan prosedur tidak boleh diketepikan walaupun dalam situasi melibatkan teknologi komunikasi moden.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Victor Chin membayar kos sebanyak RM10,000 kepada pihak plaintif. Perbicaraan kes berprofil tinggi ini, yang melibatkan tuntutan keseluruhan hampir RM50 juta, akan diteruskan seperti biasa.
Kes berkenaan melibatkan saman balas berjumlah RM49.85 juta yang difailkan pada Julai 2023 oleh bekas pengarah anak syarikat kargo milik 80% MMAG Holdings Bhd, iaitu M Jets Sdn Bhd, Gunasekar Mariappan dan Philip Phang terhadap MMAG serta beberapa pihak lain termasuk Victor Chin.
Pertikaian tersebut tercetus selepas kedua-dua individu itu digantung tugas pada Februari 2023 susulan siasatan dan serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pejabat M Jets sebelum dilucutkan jawatan.
MMAG kemudiannya memfailkan saman terhadap mereka pada April atas dakwaan pelanggaran tanggungjawab fidusiari, dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM23.17 juta.
Victor Chin individu disiasat di Malaysia
Pada 30 Mac lalu, AMLA Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa ahli perniagaan yang dikaitkan sebagai “mafia korporat”, Victor Chin Boon Long, merupakan antara 10 individu yang ditahan dalam siasatan besar pengubahan wang haram menerusi Op Viking, dengan nilai keseluruhan aset yang dibeku dan disita menghampiri RM470 juta.
Operasi yang digerakkan oleh pasukan AMLA Bukit Aman itu dilihat sebagai antara tindakan paling agresif setakat ini terhadap rangkaian jenayah kewangan, termasuk manipulasi korporat, pinjaman wang haram serta pelanggaran undang-undang pasaran modal.
Susulan perkembangan itu, pada 12 April, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa pihak polis akan menggunakan semua saluran perundangan bagi membawa pulang Victor Chin untuk membantu siasatan. “Kalau ada keperluan untuk mereka itu kita ambil kenyataan bagi membantu melengkapkan satu siasatan, semua proses untuk membolehkan kita membawa pulang mereka, kita akan gunakan,” katanya, sambil memberi bayangan tindakan lebih tegas dalam memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Jika perbicaraan saman ini memerlukan kehadiran fizikal Victor Chin Boon Long di Malaysia, perkara itu sepatutnya tidak menjadi halangan memandangkan beliau juga merupakan antara individu yang diperlukan bagi membantu siasatan AMLA PDRM berkaitan pembekuan aset yang dikaitkan dengan rangkaian “mafia korporat” berjumlah hampir RM470 juta. Kehadiran beliau bukan sahaja penting bagi proses kehakiman, malah turut relevan dalam melengkapkan siasatan penguatkuasaan yang sedang berjalan.
