Pemegang saham kedua terbesar PRG Holdings Bhd, Datuk Sheah Kok Fah, yang memiliki 8.14 peratus kepentingan dalam syarikat PRG Holdings Bhd menggesa satu semakan bebas dijalankan terhadap urus niaga antara anak syarikat PRG, Premier Construction (International) Sdn Bhd (PCI), dan Premier De Muara Sdn Bhd (PDM).


Cadangan itu dikemukakan menerusi satu resolusi biasa yang akan dibawa pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRG pada 25 Jun ini. Menurut Sheah, langkah tersebut bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk memastikan PRG ditadbir mengikut piawaian tadbir urus yang sewajarnya sebagai sebuah syarikat tersenarai awam.
Beliau berkata, semakan bebas itu penting bagi mendapatkan fakta yang jelas mengenai transaksi berkenaan serta memulihkan keyakinan pemegang saham terhadap ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan modal syarikat.
Siapa Datuk Sheah Kok Fah?
Datuk Sheah Kok Fah ialah seorang ahli perniagaan dan pelabur korporat yang berpengalaman dalam sektor hartanah, pembinaan serta pelaburan strategik. Sebagai pemegang kira-kira 39.73 juta saham, bersamaan 8.14 peratus kepentingan dalam PRG Holdings Berhad, beliau merupakan antara pemegang saham terbesar syarikat itu dan mempunyai pengaruh yang signifikan dalam hala tuju korporatnya. Kedudukan tersebut menjadikan beliau bukan sekadar seorang pelabur biasa, malah antara tokoh yang sering terlibat dalam isu-isu berkaitan tadbir urus dan kepentingan pemegang saham.
Sebelum menumpukan perhatian kepada dunia korporat, Datuk Sheah turut aktif dalam arena politik. Beliau pernah mewakili MCA sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri 2008 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku serta Pilihan Raya Umum 2013 bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan. Pengalaman dalam bidang politik dan korporat itu memberikan beliau pendedahan luas terhadap aspek pentadbiran, dasar awam dan pengurusan organisasi, yang kemudiannya diterjemahkan dalam penglibatannya sebagai pelabur dan pemegang saham korporat.

Transaksi RM37.17 Juta Jadi Tumpuan
Isu itu berpunca daripada pengumuman PRG Holdings Berhad kepada Bursa Malaysia pada 23 April 2026 berhubung cadangan penyelesaian hutang melibatkan Premier De Muara Sdn. Bhd. (PDM) dan Premier Construction (International) Sdn. Bhd. (PCI).
Di bawah cadangan tersebut, kira-kira RM37.17 juta yang terhutang oleh PDM kepada PCI dicadangkan untuk diselesaikan sebahagiannya melalui pemindahan 12 unit kondominium yang dinilai pada RM13.73 juta.
Bagaimanapun, menurut Sheah, baki hutang sebanyak RM23.44 juta tidak disertakan dengan mekanisme penyelesaian atau pemulihan yang diperincikan secara jelas dalam pengumuman tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kaedah pelunasannya.
Sheah turut membangkitkan bahawa dalam pengumuman bertarikh 23 April 2026 itu, PRG menyatakan tiada pengarah atau pemegang saham syarikat mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam cadangan transaksi berkenaan.
Walau bagaimanapun, semakan terhadap rekod awam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didakwa menunjukkan bahawa PDM dikawal oleh Datuk Ng Yan Cheng, yang juga merupakan pemegang saham utama PRG. Beliau turut mendakwa bahawa terdapat hubungan kepentingan antara individu yang terlibat dalam kedua-dua pihak urus niaga tersebut.
Perkembangan itu akhirnya membawa kepada pengumuman lanjut oleh PRG pada 19 Mei 2026 bahawa cadangan penyelesaian hutang tersebut sememangnya merupakan Transaksi Pihak Berkaitan (Related Party Transaction atau RPT), sekali gus mengubah pendirian yang dinyatakan dalam pengumuman asal bertarikh 23 April 2026.
Semuanya kerana kantoi wujud kepentingan dalam kedua-dua syarikat.

BUKTI KEPENTINGAN DATUK NG YAN CHENG
Datuk Sheah turut mengemukakan beberapa fakta berdasarkan dokumen korporat yang didakwa menunjukkan hubungan pemilikan antara pemegang saham utama PRG dan PDM.

Berdasarkan rekod korporat yang tersedia, Datuk Ng Yan Cheng dilaporkan memiliki sepenuhnya Liveintent Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memegang 21.1 peratus kepentingan dalam Premier De Muara Sdn Bhd (PDM).
Pada masa yang sama, isteri beliau, Wang Jing, menerusi Widuri Flexi Sdn Bhd, memiliki 78.6 peratus pegangan saham PDM. Berdasarkan struktur pemilikan tersebut, pegangan gabungan Datuk Ng Yan Cheng dan Wang Jing dalam PDM dianggarkan mencecah 99.7 peratus, sekali gus menunjukkan penguasaan hampir sepenuhnya terhadap syarikat berkenaan melalui pegangan langsung dan tidak langsung.
Semua pemilikan syarikat berpusing-pusing di sekitar Datuk Ng Yan Cheng sama ada syarikat senarai awam di Malaysia ataupun Singapura.


Persoalan Mengenai Risiko dan Manfaat Ekonomi
Menurut Sheah, isu utama kini bukan sekadar status RPT, tetapi sama ada struktur transaksi itu menyebabkan manfaat ekonomi projek dinikmati oleh PDM, manakala risiko kewangan dan beban pembiayaan ditanggung oleh PCI serta PRG.
Beliau mempersoalkan sama ada PCI berfungsi sebagai penyedia pembiayaan dan penyerap risiko projek, termasuk menggunakan dana dalaman, aliran tunai operasi, kemudahan perbankan atau hasil daripada projek lain dalam kumpulan bagi menyokong pembangunan tersebut.
Katanya, pemegang saham minoriti berhak mengetahui sama ada mereka akhirnya menanggung kesan ekonomi daripada hutang, kos pembiayaan dan kerugian kemerosotan nilai yang berkaitan dengan transaksi itu.
Bangkit Isu Tadbir Urus Pengarah Urusan Kumpulan
Dalam kenyataannya, Sheah turut merujuk kepada notis bertarikh 28 Mei 2026 yang dikemukakan bagi menyingkirkan Pengarah Urusan Kumpulan PRG, `Andrew Chan Lim-Fai` (Menantu Datuk Ng Yan Cheng) daripada Lembaga Pengarah atas kebimbangan berkaitan tadbir urus dan pendedahan maklumat kepada pasaran.

Bagaimanapun, notis tersebut ditolak oleh Lembaga Pengarah atas alasan tidak memenuhi tempoh notis minimum 28 hari seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 322 Akta Syarikat.
Sheah mendakwa Andrew Chan, yang juga menantu kepada pemegang saham terbesar PRG, Datuk Ng Yan Cheng (NYC), sepatutnya mengetahui hubungan pemilikan antara PDM dan keluarganya, sekali gus memahami bahawa transaksi tersebut mempunyai elemen RPT yang memerlukan pendedahan sewajarnya.
Demi Kredibiliti dan Integriti PRG
Sheah menegaskan bahawa cadangan semakan bebas ini dibuat demi kepentingan jangka panjang syarikat serta perlindungan hak semua pemegang saham.
Beliau berharap semakan bebas terhadap urus niaga antara PCI dan PDM dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti tadbir urus korporat PRG terus dipelihara serta keyakinan pasaran terhadap syarikat dapat dipulihkan.
Gesaan siasatan SPRM dan SC
Beberapa pihak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkaitan urus niaga bernilai RM37 juta yang melibatkan PRG Holdings Bhd.
Gesaan itu turut meminta pihak berkuasa meneliti sama ada wujud unsur konflik kepentingan, salah guna kuasa atau pelanggaran peraturan tadbir urus korporat yang membabitkan pemegang saham terbesar PRG Holdings, Datuk Simonn Ng Yan Cheng serta hubungan kekeluargaan dengan anggota pengurusan kanan syarikat.
Apa yang nampak di depan mata memang berlaku salahgunakuasa dan pecah amanah dalam Premier De Muara Sdn. Bhd (PDM) dan Premier Construction (International) Sdn. Bhd. (PCI).
