KUALA LUMPUR, — Datuk Seri Keh Chuan Seng didakwa menyerahkan RM5.5 juta dan SGD1.5 juta kepada Tan Sri Tan Kean Soon melalui Datuk Seri Chiau Beng Teik selepas diperdaya bahawa masalah pembekuan akaun bank serta siasatan pengubahan wang haram terhadapnya boleh diselesaikan.
Butiran itu terkandung dalam empat pertuduhan terhadap Tan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam. Keh, 55, dinamakan sebagai mangsa, manakala Chiau disebut sebagai individu yang menjadi perantara penyerahan wang berkenaan.
Tan Kean Soon, bekas timbalan pengerusi eksekutif T7 Global Bhd, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azrul Darus.
Menurut pertuduhan, beliau didakwa menyebabkan Keh mempercayai bahawa beliau boleh membantu menyelesaikan pembekuan akaun bank peribadi dan syarikat oleh polis, selain siasatan terhadap Keh di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram atau AMLA.
Wang itu didakwa diserahkan dalam empat jumlah berasingan — RM2 juta, RM3 juta, SGD1.5 juta dan RM500,000 — antara 23 hingga 25 Mac 2025.
Empat lokasi dinamakan dalam pertuduhan: tempat letak kereta di Kuchai Lama, Dataran Maybank Bangsar, Hotel Pavilion dan Kampung Pandan. Jumlah keseluruhan wang tersebut dilaporkan melebihi RM10 juta.
Pertuduhan Tan Kean Soon menipu Datuk Seri Keh Chuan Seng dan Datuk Seri Chiau Beng Teik merupakan sebahagian apa yang didedahkan The Corporate Secret dalam skandal MBI tahun lalu.
Dalam laporan bertarikh 22 Mei 2025, The Corporate Secret mendedahkan kedua-dua ahli perniagaan itu berhubung pembayaran sekitar RM10 juta kepada Tan Kean Soon. Artikel berkenaan turut menyorot pengunduran Keh daripada beberapa jawatan korporat pada Mac 2025.

Datuk Seri Keh Chuan Seng merupakan ‘budak’ Datuk Seri Chiau Beng Teik dalam rangkaian pelbagai syarikat dalam pembelian saham menggunakan dana Skim MBI International. Chiau adalah pihak pengantara kepada pembayaran RM 10 juta kepada Tan Sri Tan Kean Soon. Skandal MBI itu wujud namun tidak pernah selesai hingga kini.

Operasi Northern Star: Rampasan dan Penahanan

Tahun lalu Polis Diraja Malaysia melancarkan Operasi Northern Star yang membawa kepada penahanan beberapa individu berprofil tinggi, termasuk tiga bergelar ‘Tan Sri’, Datuk dan seorang ‘Datuk Seri’. Antara aset yang dirampas termasuk:
– 638 akaun bank dan saham bernilai RM1.16 bilion
– 35 hartanah termasuk kondo dan bangunan komersial: RM2.01 bilion
– Ladang durian di Raub, Jawi, dan Tasek bernilai RM223.6 juta
– Kilang pemprosesan kelapa sawit di Selama, Kedah
– Hotel dan syarikat pemaju hartanah yang dipercayai dikawal secara tidak langsung oleh rangkaian MBI
Jumlah keseluruhan aset yang dirampas melebihi RM3.5 bilion
Antara Tan Sri dan Datuk Seri ditahan ialah;
| NAMA | JAWATAN |
| Tan Sri Tan Kean Soon | Pengerusi T7 Global Bhd |
| Tan Sri Dato’ Dr Khor Eng Chuen | Pengerusi & Pengarah ECK Development Sdn. Bhd |
| Tan Sri Alex Ooi | Pengerusi Ideal Property Group |
| Datuk Eddie Ong Choo Meng | Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan – Hextar Group |

Chin Hin Group Bhd saman The Corporate Secret
Untuk rekod pada 29 Mei 2025, Chin Hin Group Bhd, Chiau dan anaknya, Chiau Haw Choon, melalui firma guaman Firoz Julian, mengemukakan surat tuntutan berhubung dua artikel yang diterbitkan pada 22 dan 23 Mei tahun itu
Mereka menuntut pampasan RM10 juta, pemadaman artikel, penarikan balik dan permohonan maaf. Menurut laporan berkenaan, pihak Chin Hin menafikan dakwaan penglibatan dalam skim MBI serta pengubahan wang haram dan menyifatkannya sebagai fitnah. Laporan itu memperincikan surat tuntutan namun artikel tidak pernah dipadam daripada portal The Corporate Secret.
Hari ini keempat-empat pertuduhan terhadap Tan Sri Tan Kean Soon dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin, berserta syarat memaklumkan pergerakannya ke luar negara kepada mahkamah dan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Januari 2027.
Mungkin akan ada berita mengejutkan mengenai skandal MBI International selepas ini
