KOTA KINABALU — Datuk Lucy Irene Yong, yang dikaitkan dengan kontroversi pembayaran RM406,282.50 bagi Projek Unit Media Khas Pejabat Ketua Menteri Sabah, dijangka berdepan pertuduhan di mahkamah, menurut maklumat terbaharu daripada sumber.
Sumber memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dijangka mengambil tindakan pendakwaan terhadap Lucy susulan kes berkenaan. Tindakan itu sekarang di peringkat “Consent to prosecute” atau “kebenaran untuk mendakwa”
Bagaimanapun, maklumat tersebut belum disahkan secara rasmi oleh SPRM atau pihak pendakwaan.
Perkembangan itu menyusuli pendedahan The Corporate Secret pada 14 September lalu mengenai dakwaan pembayaran kepada Padas Greens bagi pengendalian Unit Media Khas. Laporan tersebut mengaitkan Lucy, yang dikenal pasti sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Ketua Menteri Sabah, serta Datuk Joniston Bangkuai suaminya yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.
Laporan terdahulu memetik sebuah portal tempatan mengenai aduan bernombor rujukan SPRM/INFO/2026/012954, yang dipaparkan berstatus “Tindakan SPRM” yang kini menarik perhatian rakyat Sabah.

Antara persoalan utama ialah dakwaan pembayaran RM406,282.50 bagi pengendalian projek selama setahun, sedangkan unit tersebut dikatakan hanya beroperasi kira-kira tiga bulan. Beberapa petugas media turut didakwa tidak menerima bayaran.
Padas Greens pula dikaitkan dalam laporan terdahulu dengan Aliamis Sami, yang dikenal pasti sebagai pemimpin PBS Kiulu dan bekas pegawai khas kepada Joniston. Surat yang dikatakan ditandatangani Lucy berhubung penyaluran pembayaran kepada entiti itu turut menjadi antara dokumen yang menjadi objek siasatan SPRM.
Projek berkenaan gagal namun bayaran penuh RM406,282.50 telah dituntut penuh ke akaun bank Padas Greens sebuah syarikat milikan tunggal yang tidak berkaitan dengan media.
Sekiranya maklumat sumber mengenai pertuduhan itu disahkan, prosiding mahkamah akan menjadi medan untuk pihak pendakwaan mengemukakan kes dan pihak pembelaan menjawabnya.
SPRM perlu menjelaskan kedudukan sebenar kes ini serta bertindak tegas berdasarkan bukti dan undang-undang. Sebarang rayuan, tekanan atau campur tangan daripada pegawai mahupun pembantu menteri tidak boleh dijadikan alasan untuk melengah atau menghentikan tindakan sekiranya terdapat asas pendakwaan yang mencukupi. Hanya kerana Lucy pegawai kepada Ketua Menteri dan suaminya Pembentu Menteri, SPRM tidak boleh berdiam diri.
Jika wujud usaha berunding untuk menutup kes, perkara itu juga perlu disiasat. Lucy serta pihak lain yang dinamakan berhak menjawab dakwaan di mahkamah.
