
Bursa Malaysia Securities Bhd mengesahkan bahawa dagangan saham Ireka Corporation Bhd (ICB) akan digantung bermula 3 Oktober 2025 selepas syarikat itu gagal memenuhi syarat berhubung pelan penyusunan semula.
Dalam satu makluman rasmi, Bursa menolak permohonan ICB untuk mendapatkan tempoh lanjutan bagi menyerahkan cadangan penstrukturan. Sekiranya tiada rayuan difailkan sebelum 2 Oktober, saham syarikat berkenaan akan dinyahsenarai daripada papan utama Bursa Malaysia pada 7 Oktober.
Bursa menegaskan rayuan lewat tidak akan dilayan, dan sekiranya rayuan dibuat dalam tempoh yang dibenarkan, proses penyahsenaraian akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan. Namun begitu, penggantungan dagangan tetap berkuat kuasa pada 3 Oktober.
“Selepas penyahsenaraian, saham ICB akan dikeluarkan daripada Bursa Malaysia Depository, tetapi syarikat masih mengekalkan daftar pemegang sahamnya. ICB akan kekal beroperasi sebagai entiti persendirian dan meneruskan proses penstrukturan korporat,” kata kenyataan itu.
ICB turut memberi jaminan bahawa hak pemegang saham akan terus terpelihara di bawah peruntukan Akta Syarikat 2016 walaupun sekuriti mereka tidak lagi diniagakan di pasaran terbuka.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat tersebut memaklumkan kepada bursa pada awal minggu bahawa ia telah gagal menjelaskan pinjaman berjumlah RM1.04 juta kepada Hong Leong Bank Bhd dan AmBank (M) Bhd. Hutang itu dikaitkan dengan kemudahan pembiayaan yang pernah diberikan kepada anak syarikatnya, Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd, yang kini telah menamatkan operasi.
Penggantungan dagangan dan risiko penyahsenaraian ini menambah tekanan terhadap ICB, yang sudah sekian lama berdepan masalah kewangan dan kegagalan memenuhi obligasi pinjaman.
Baru-baru ini kontrak Projek Lebuhraya Pan Borneo lebih RM1 bilion telah ditamatkan oleh Gimmerlite dan MTD. 23 September lalu media melaporkan Ireka Corporation Bhd (ICB) gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM1.04 juta yang terhutang kepada Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan AmBank (M) Bhd.