KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka meneruskan tindakan perundangan dengan memfailkan notis rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan agensi itu untuk mendapatkan perintah larangan akses terhadap aset pelaburan bernilai kira-kira RM548 juta yang didakwa berkaitan dengan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, anaknya serta beberapa pihak lain di Singapura.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal memenuhi ambang pembuktian yang diperlukan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan syarat undang-undang untuk membolehkan perintah larangan akses terhadap aset berkenaan tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pemohon.
“Ambang pembuktian di bawah Seksyen 53 AMLATFPUAA gagal dipenuhi, justeru permohonan ini ditolak,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, SPRM dalam kenyataan susulan memaklumkan bahawa agensi itu akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat dan perkara tersebut telah dibawa ke perhatian Jabatan Peguam Negara.
“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, SPRM akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian Jabatan Peguam Negara,” menurut kenyataan itu.
Pada prosiding hari ini, pihak SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, manakala Na’imah Abdul Khalid, anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim serta tujuh pihak lain diwakili peguam kanan Gurdial Singh Nijar.
Sebelum ini, pada 19 Jun 2025, SPRM memfailkan permohonan secara ex-parte bagi menghalang Na’imah, anaknya, dua individu lain, lima syarikat dan mana-mana pihak berkaitan daripada mengurus atau mengakses aset di luar negara.
Aset yang menjadi pertikaian itu melibatkan wang pelaburan sebanyak £21 juta (kira-kira RM121 juta) dan AS$99 juta (kira-kira RM423 juta) yang ditempatkan dalam beberapa akaun bank di Singapura.
Permohonan tersebut difailkan di bawah Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 susulan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan serta Seksyen 4(1) AMLATFPUAA berkaitan dakwaan pengubahan wang haram.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi episod penting dalam siri siasatan dan tindakan undang-undang berprofil tinggi yang dikaitkan dengan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin, khususnya melibatkan aset dan pelaburan luar negara yang kini terus menjadi perhatian pihak berkuasa.
