KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, untuk memindahkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Noor Ruwena Nurdin dalam penghakimannya berkata, pihak pemohon berjaya mengemukakan merit mencukupi termasuk persoalan undang-undang yang dianggap rumit dan luar biasa bagi membolehkan kes tersebut dipindahkan.
Menurut beliau, mahkamah mendapati terdapat isu perundangan penting yang wajar diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah mendapati terdapat merit dalam persoalan undang-undang sukar dan luar biasa yang dibangkitkan pemohon. Atas alasan itu, permohonan ini dibenarkan,” katanya.
Dalam masa sama, mahkamah turut memutuskan bahawa masih terlalu awal untuk menganggap kes tersebut melibatkan pendakwaan berganda, memandangkan Abdul Hamid dan syarikatnya didakwa di bawah peruntukan berbeza dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun pertuduhan itu bersandarkan fakta yang sama.
Susulan keputusan itu, kedua-dua kes berkaitan akan didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena.
Dakwaan Libatkan Konsesi Menara Kuala Lumpur
Abdul Hamid sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen pada 5 April 2023 atas pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Tan Ser Lay bagi manfaat bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.
Suapan tersebut didakwa bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur.
Pada hari sama, Hydroshoppe Sdn Bhd turut didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen atas kesalahan berkaitan, dengan Abdul Hamid mengaku tidak bersalah bagi pihak syarikat dalam kapasiti beliau sebagai pengarah.
Pendakwaan terhadap Abdul Hamid dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM yang melibatkan pemberian atau tawaran suapan, manakala syarikat pula didakwa di bawah Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM berkaitan liabiliti korporat.
Seksyen 17A memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat boleh dipertanggungjawabkan sekiranya perbuatan rasuah dilakukan oleh individu yang mempunyai kaitan atau hubungan dengan syarikat tersebut.
Abdul Hamid diwakili peguam Joshua Tay dan Tang Jia Yern, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin
