KUALA LUMPUR — Kontroversi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bernilai RM1.07 bilion kembali menghantui Ireka Corporation Berhad apabila Bursa Malaysia mengenakan teguran awam terhadap syarikat itu serta denda keseluruhan RM425,000 terhadap tujuh pengarah dan bekas pengarahnya.
Tindakan disiplin itu berpunca daripada kegagalan Ireka membuat pendedahan lengkap dan tepat kepada pasaran berhubung surat penganugerahan projek atau LOA yang diumumkan pada 8 Oktober 2024. Bursa Malaysia mendapati Ireka gagal mendedahkan bahawa projek tersebut melibatkan struktur subkontrak berlapis, menjadikan anak syarikatnya, Shoraka Construction Sdn Bhd sebagai subkontraktor ketiga dalam rantaian projek Pan Borneo Sabah Fasa 1B, Work Package 33.
Lebih serius, kelulusan dan pelaksanaan projek itu masih tertakluk kepada beberapa syarat penting termasuk persetujuan Jabatan Kerja Raya, MTD Construction Sdn Bhd (Kontraktor Utama) serta pembiayaan yang belum dimuktamadkan. Bursa berpandangan maklumat material ini sepatutnya didedahkan kerana ia memberi kesan langsung kepada risiko projek dan keputusan pelabur.
Isu ini menjadi lebih besar apabila perjanjian rasmi projek gagal dimeterai dalam tempoh ditetapkan, namun perkara itu tidak diumumkan segera. Penamatan Project Operation Agreement antara MTD Construction dan Gammerlite Sdn Bhd pada 30 Jun 2025 pula membawa kepada cadangan penamatan LOA Ireka, tetapi pengumuman kepada pasaran hanya dibuat pada 28 Julai 2025.

Antara individu yang dikenakan penalti tertinggi ialah bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Datuk Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail, dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Chairil Mohd Tamil, masing-masing didenda RM100,000. Bekas Pengarah Eksekutif Chow Sung Chek pula didenda RM75,000, manakala bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Tan Sri Mohd Ismail Che Rus dikenakan penalti RM50,000.
Turut dikenakan tindakan ialah pengarah bebas bukan eksekutif Datuk Azmi Abdullah, Shahruladeri Mohamad Adnan dan Norhaizam Mohammad, menjadikan jumlah keseluruhan denda terhadap tujuh individu itu RM425,000.
Kes ini menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan korporat Ireka, khususnya kerana kontrak RM1.07 bilion itu jauh melebihi hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, iaitu sekitar RM36.8 juta.
Sebelum ini, The Corporate Secret pada Ogos 2025 pernah mendedahkan isu berkaitan Gammerlite dan rantaian subkontraktor projek Pan Borneo WP33 yang didakwa mencetuskan pertikaian dengan pihak subkontraktor lain. Gammerlite adalah syarikat daripada Sabah melobi projek Pan Borneo menggunakan MTD Construction.
Kes Ireka ini bukan sekadar isu kelewatan pengumuman. Ia menggambarkan bagaimana satu projek mega boleh melonjakkan persepsi pasaran bagi tujuan manipulasi saham yang akhirnya menimbulkan persoalan apabila risiko sebenar tidak didedahkan lebih awal kepada pelabur.
Tindakan disiplin terbaru ini sekali gus menambah episod hitam dalam kejatuhan salah satu syarikat pembinaan tertua negara itu. Selepas gagal mempertahankan status penyenaraian dan tidak berjaya mengemukakan pelan regularisasi yang meyakinkan kepada Bursa Malaysia, Ireka akhirnya tersingkir daripada pasaran utama ketika keyakinan pelabur terhadap syarikat itu sudah semakin merosot.
Lebih memalukan, tindakan Bursa Malaysia mendedahkan bahawa masalah Ireka bukan sekadar krisis kewangan atau kegagalan penyusunan semula korporat semata-mata, tetapi turut melibatkan isu tadbir urus, ketelusan maklumat dan pematuhan kewajipan pendedahan kepada pasaran modal.
Kontroversi projek Pan Borneo Sabah bernilai lebih RM1 bilion itu kini dilihat menjadi antara simbol kejatuhan akhir Ireka, apabila pengumuman projek tersebut sebelum ini pernah mencetuskan lonjakan harga saham hampir 45 peratus sebelum akhirnya saham syarikat menjunam selepas kegagalan projek dan penamatan LOA mula diketahui pasaran.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada pelabur telah diberikan gambaran yang terlalu optimistik mengenai kedudukan sebenar projek berkenaan sedangkan pelbagai syarat penting, risiko pembiayaan dan struktur subkontrak masih belum dimuktamadkan ketika pengumuman dibuat.
Apa yang berlaku kepada Ireka kini menjadi peringatan besar kepada pasaran bahawa pengumuman projek berskala bilion ringgit tidak boleh dijadikan alat mencipta sentimen tanpa pendedahan risiko yang lengkap dan telus. Dalam kes Pan Borneo Sabah WP33 ini, kegagalan mendedahkan struktur sebenar subkontrak, syarat kelulusan serta risiko pembiayaan akhirnya memakan diri sehingga membawa kepada tindakan disiplin Bursa Malaysia, kejatuhan harga saham dan akhirnya penyingkiran Ireka daripada Bursa Malaysia sendiri.
Untuk rekod, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej WP33 yang melibatkan laluan Kampung Lumou Baru ke Kampung Toupus di Ranau dengan nilai mencecah kira-kira RM1.3 bilion kini dilaporkan tergendala dan terus menimbulkan keresahan rakyat di kawasan terlibat. Kelewatan projek itu didakwa berpunca daripada struktur pelantikan subkontraktor berlapis yang akhirnya menjejaskan kelancaran pelaksanaan di tapak. Penduduk tempatan yang sekian lama mengharapkan jaringan jalan raya lebih selamat dan moden kini terus berdepan kesukaran harian akibat kelewatan berpanjangan. Susulan itu, pelbagai pihak mendesak kerajaan serta agensi berkaitan memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual selain menghentikan budaya pelantikan kontraktor dan subkontraktor bermasalah yang didakwa menjadi antara punca utama kegagalan projek-projek infrastruktur berskala besar di Sabah.

