KUALA LUMPUR — Kemelut kewangan yang didakwa melanda syarikat penerbangan persendirian MJets Air Sdn Bhd kini dilihat semakin serius apabila beberapa sumber dalaman mendakwa pihak pengurusan tertinggi syarikat masih belum menerima bayaran gaji sehingga 8 Mei 2026.
Menurut maklumat yang diterima, kelewatan pembayaran bukan sahaja melibatkan kakitangan biasa, malah turut menjejaskan ketua jabatan (Head of Department) dan pengarah syarikat. Situasi itu mencetuskan persoalan besar mengenai kedudukan kewangan sebenar syarikat penerbangan berkenaan.
Sumber dalaman mendakwa keadaan semasa menunjukkan aliran tunai MJets semakin kritikal, terutama selepas beberapa usaha mendapatkan dana baharu dipercayai gagal.
“Head of Department dan Director sampai sekarang belum dapat gaji. Hari ini sudah 8 Mei. Kami sendiri tidak tahu bila bayaran akan dibuat,” dakwa satu sumber.
Perjanjian Jual Beli Pesawat Didakwa Dibatalkan
Krisis tersebut dikatakan bertambah buruk selepas satu urus niaga penjualan sebuah pesawat pada bulan lalu dipercayai dibatalkan pada saat akhir. Pembatalan itu didakwa memberi kesan besar kepada kedudukan tunai syarikat yang sebelum ini bergantung kepada transaksi aset dan kontrak penerbangan khas untuk terus bertahan.
Dalam masa sama, pelabur baharu yang dikenali sebagai Bluorbit Logistics Pte Ltd juga didakwa telah menarik diri daripada rundingan pembiayaan syarikat. Perkembangan itu dipercayai menutup salah satu saluran penting untuk MJets mendapatkan suntikan modal baharu.
“Dana Victor Chin Sudah Kering”
Sumber turut mendakwa syarikat sebelum ini banyak bergantung kepada rangkaian pembiayaan yang dikaitkan dengan tokoh korporat kontroversi, Victor Chin Boon Long.
Namun selepas beberapa siri siasatan dan tindakan penguatkuasaan berkaitan kes AMLA serta pembekuan akaun syarikat-syarikat berkaitan, dana yang sebelum ini menjadi talian hayat operasi MJets didakwa semakin terhad.
“Dana dari Victor Chin sudah kering,” dakwa sumber tersebut.
Sebelum ini, portal The Corporate Secret pernah melaporkan isu kelewatan pembayaran gaji membabitkan kumpulan berkaitan MMAG Holdings Berhad selepas beberapa akaun bank didakwa dibekukan susulan siasatan pengubahan wang haram.
Laporan terdahulu bertajuk “Skandal Pengubahan Wang Haram Mafia Korporat Victor Chin Ditahan 29 Disember — MMAG Holdings Umum Akaun Bank Dibekukan, Gagal Bayar Gaji Pekerja” turut membangkitkan persoalan mengenai kebergantungan operasi syarikat kepada sumber pembiayaan tertentu.
BACA
Kontrak Penerbangan Khas Semakin Merosot
Sumber turut mendakwa Datuk Kevin, yang dikatakan memainkan peranan penting dalam menjana kontrak penerbangan khas sebelum ini, kini tidak lagi mampu membawa masuk projek berskala besar seperti sebelumnya.
Malah, terdapat dakwaan bahawa beberapa aktiviti berkaitan penerbangan khas dan logistik sebelum ini mungkin sedang menjadi perhatian pihak berkuasa, termasuk dakwaan berkaitan penyeludupan dan pengelakan cukai kastam.Pegawai Kastam dan rakan niaga dalam penyeludupan itu ditahan SPRM dan dibicarakan.
Mampukah MJets Bertahan?
Kemerosotan aliran tunai, kegagalan mendapatkan pelabur baharu, pembatalan transaksi aset serta kelewatan pembayaran gaji kini menimbulkan persoalan sama ada MJets masih mampu meneruskan operasi dalam jangka panjang.
Pemerhati industri melihat syarikat itu kini berada dalam fasa paling kritikal sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya selepas pelbagai kontroversi yang mengaitkan kumpulan MMAG Holdings Berhad dengan beberapa tokoh korporat berprofil tinggi melibatkan pengasasnya Victor Chin Boon Long.
Sekiranya masalah pembiayaan gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat, tidak mustahil syarikat penerbangan persendirian tersebut berdepan risiko penyusunan semula besar-besaran atau kemungkinan lebih buruk — gulung tikar.
Kes mahkamah
Pada April lalu, MJets Air Sdn Bhd turut berdepan tekanan dalam perbicaraan mahkamah membabitkan saman balas yang difailkan oleh Gunasekar Mariappan dan Philip Phang terhadap Victor Chin Boon Long serta lapan pihak lain. Dalam tindakan saman yang difailkan pada Julai 2022 itu, mereka menuntut ganti rugi berjumlah RM49.85 juta selepas mendakwa wujud konspirasi untuk merosakkan pelaburan mereka dalam M Jets.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah MMAG Holdings Berhad bersama dua pengarahnya, Datuk Kenny Khow Chuan Wah dan Chong Koon Meng, selain M Jets dan JT Aerotech Solutions Sdn Bhd (JTAS), serta tiga pemegang saham JTAS iaitu R Shanmugananthan, Anton Alex Schubert dan M Saysu. Dalam prosiding tersebut, mahkamah dilaporkan tidak membenarkan Victor Chin memberikan keterangan secara video dan kes itu dijadualkan bersambung semula pada Jun ini.
Dalam perbicaraan di mahkamah, Gunasekar Mariappan turut memberi keterangan bahawa Victor Chin Boon Long mempunyai pengaruh dan kuasa besar dalam kerjasama antara MMAG Holdings Berhad dan MJets Air Sdn Bhd. Menurut beliau, pelbagai keputusan penting berkaitan operasi, pembiayaan dan hala tuju syarikat didakwa banyak dipengaruhi oleh Victor Chin, termasuk urusan suntikan dana serta pengembangan perniagaan penerbangan khas. Gunasekar juga mendakwa bahawa Victor sebelum ini memberi jaminan pembiayaan tambahan kepada operasi M Jets, namun situasi kewangan syarikat akhirnya semakin meruncing apabila dana yang dijanjikan gagal direalisasikan.
BACA
Pada masa sama, pemerhati korporat turut melihat hubungan rapat antara Victor Chin dan Datuk Kenny Khow Chuan Wah bukan lagi perkara baharu dalam dunia korporat. Kenny Khow yang juga pengarah dalam rangkaian syarikat berkaitan MJets dan MMAG Holdings Berhad sering dikaitkan sebagai orang kanan Victor Chin dan isterinya Madam Chan Swee Ying dalam pelbagai syarikat yang di bawah pengaruh kumpulan tersebut, termasuk Green Packet, Classita Holdings Berhad, Hong Seng Consolidated Berhad serta MMAG sendiri.

Hubungan korporat yang saling berkait itu terus menjadi perhatian berikutan beberapa kontroversi, pertikaian dalaman syarikat dan siasatan berkaitan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan rangkaian korporat terbabit.
