
Krisis keluarga yang melanda empayar korporat Sapura kini bertukar menjadi medan geopolitik dan perebutan aset strategik negara. Dari luar kelihatan sekadar konflik antara pengasas dan dua pewaris, namun di balik tabir, muncul satu nama yang semakin dominan: Puan Sri Mariam Parineh, isteri muda Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir pengasas Sapura.
Dakwaan semakin lantang kedengaran bahawa Mariam, bekas warganegara Iran/Amerika, ibu tiri muda ini dikaitkan dengan jaringan perisikan luar, telah menghasut Tan Sri Shamsuddin supaya menyaman anak-anaknya sendiri – Tan Sri Shahril dan Datuk Shahriman – bagi membuka laluan penguasaan penuh ke atas Sapura. Beliau telah menguasai Sapura Industries Bhd (SIB) dan kini mahu merampas syarikat pelaburan keluarga Sapura Holdings Sdn Bhd. Inilah wajah konspirasi korporat yang tidak lagi tersembunyi.
Sumber mendedahkan pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan terhadap Puan Sri Mariam Parineh Nariman yang keluarganya mempunyai kaitan dengan agen Savak Iran berbahaya.
Dari Rundingan Damai ke Medan Perang
Pada mulanya, konflik perebutan saham dalam Sapura Holdings Sdn Bhd cuba diselesaikan melalui mediasi keluarga. Kedua-dua pewaris utama, Shahril dan Shahriman, yang masing-masing memegang 40.5% pegangan, bersetuju berbincang untuk mencari jalan tengah.

Pada 30 September, media melaporkan bahawa Shahril dan Shahriman Shamsuddin—selaku pengarah serta pemegang saham Sapura Holdings Sdn Bhd (SHSB)—berada di peringkat akhir menyelesaikan pertikaian petisyen penggulungan syarikat di Mahkamah Tinggi. Peguam Shahriman, Gopal Sreenivasan, memaklumkan kepada Hakim Leong Wai Hong bahawa hasil pertemuan peguam selaras cadangan mahkamah menunjukkan kedua-dua pihak kini “lebih hampir” mencapai penyelesaian, perkara yang turut disahkan oleh peguam S Rabindra bagi pihak Shahril, namun mereka masih meneliti “satu atau dua perkara” berhubung terma penyelesaian dan memohon masa untuk memuktamadkannya.
Namun segala usaha itu cuba dimusnahkan apabila Mariam Parineh ibu tiri pendendam masuk campur dalam pertikaian dengan menghasut suaminya Tan Sri Shamsuddin memfailkan saman terhadap anak-anaknya sendiri bersama syarikat Brothers Capital Sdn Bhd. Dari titik itu, pertikaian keluarga bertukar menjadi peperangan undang-undang yang menyesakkan. Jika Allahyarhamah Puan Sri Siti Sapura Husin masih ada semua ini pastinya tidak akan berlaku.
Catur Kuasa: Pemindahan Saham ke Tangan Isteri Baharu
Langkah paling mencurigakan berlaku pada Julai 2022, apabila Tan Sri Shamsuddin memindahkan 28% saham Sapura Industrial Berhad kepada Mariam. Tindakan ini menjadikan beliau bukan sahaja pasangan hidup, tetapi juga pemegang saham utama dengan kuasa mengundi yang mampu menentukan hala tuju syarikat.

Tidak lama selepas itu, Mariam dilantik ke jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif, menandakan lonjakan peranan beliau daripada sekadar bini baharu kepada pemain utama korporat. Semua ini berlaku ketika hubungan Shamsuddin dengan anak-anaknya semakin renggang – satu kebetulan yang terlalu rapi untuk dianggap sekadar takdir.
Bayangan Savak & Campur Tangan Asing
The Corporate Secret sebelum ini telah mendedahkan Mariam dengan jaringan asing, malah nama Savak, bekas badan perisikan Iran, disebut sebagai dalang di belakang tabir. Bersama sekutunya, Syed Haroon Alshatrie, Mariam dituduh membawa masuk agenda luar bagi melemahkan Sapura dari dalam. Ketika Perang Iran-Israel baru-baru ini bekas-bekas pemimpin SAVAK yang pro Amerika-Israel secara terang-terangan menyokong serangan itu dan ingin kembali dalam cubaan rampasan kerajaan.
Naratif ini semakin meyakinkan apabila langkah-langkah korporat yang diambil – dari pemindahan saham hingga saman keluarga – dilihat lebih banyak menguntungkan pihak luar berbanding pewaris sah. Sapura bukan sekadar syarikat keluarga; ia memiliki aset strategik dalam sektor pertahanan, tenaga, dan teknologi yang kritikal kepada kedaulatan Malaysia. Ini yang kaum-kaum SAVAK ini mahukan.
Anak vs Ibu Tiri: Pertarungan Legasi
Kini, Shahril dan Shahriman berdepan bukan sahaja bapa mereka sendiri, tetapi seorang “ibu tiri beragenda asing”. Pertikaian ini bukan lagi tentang perebutan saham semata, tetapi tentang legasi keluarga dan survival aset negara.
Peralihan naratif begitu jelas: dari konflik keluarga kepada kisah “anak melawan ibu tiri besi” yang dilihat sedang mencatur untuk merampas empayar dengan sokongan rangkaian luar.
Kesimpulan: Bahaya Dari Dalam
Misi Mariam Parineh kini semakin terserlah. Dengan langkah sistematik, beliau menolak usaha damai keluarga dan mendorong Tan Sri Shamsuddin menentang darah dagingnya sendiri. Dari pemindahan saham hingga ke saman mahkamah, segala tanda menunjukkan satu konspirasi besar sedang berjalan untuk menawan syarikat kenderaan keluarga Sapura Holdings Sdn Bhd yang banyak mendapat kontrak strategik negara.
Persoalannya: Adakah Malaysia akan membiarkan Sapura – simbol keupayaan teknologi tempatan – rebah ke tangan agen asing melalui permainan keluarga?