KUALA LUMPUR — Cadangan penyenaraian ACE Market melibatkan Emits Berhad kini mula dibayangi pelbagai dakwaan serius berkaitan pengubahan wang haram, penjualan cip semikonduktor berpaten secara haram serta rangkaian operasi rentas sempadan yang dikaitkan dengan tokoh korporat Pulau Pinang, Dato’ Seri Goh Eng Hoe.
Kontroversi tersebut tercetus selepas satu emel aduan dan “speak-up notice” dihantar kepada Howard Lutnick, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, yang mendakwa wujudnya rangkaian sindiket serantau melibatkan operasi pengalihan, penjualan dan pengedaran cip semikonduktor proprietari dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.
Menurut aduan tersebut, operasi berkenaan didakwa mempunyai kaitan sejarah dengan Citiraya Industries Ltd dan entiti penggantinya, Metech International Limited, yang pernah terpalit dalam skandal penyeludupan cip semikonduktor bernilai jutaan dolar di Singapura pada awal 2000-an.
Skandal Citiraya dan Jejak Ng Teck Lee
Kes berprofil tinggi itu sebelum ini menyaksikan bekas CEO Citiraya, Ng Teck Lee, didakwa terlibat dalam skim penyeludupan cip semikonduktor yang sepatutnya dimusnahkan untuk tujuan pemulihan logam berharga.
Antara tahun 2003 hingga 2004, pekerja syarikat didakwa membenarkan cip yang masih berfungsi diseludup keluar sebelum dijual semula ke pasaran luar negara termasuk Taiwan dan Hong Kong. Skim tersebut dilaporkan menghasilkan keuntungan melebihi AS$51 juta.
Apabila siasatan dilancarkan oleh CPIB Singapura pada Januari 2005, Ng Teck Lee dan isterinya dilaporkan melarikan diri sebelum akhirnya ditahan di Johor Bahru pada Disember 2024 selepas hampir dua dekad menggunakan identiti palsu.

Dakwaan Hubungan Dengan Rangkaian Malaysia
Emel aduan tersebut mendakwa Dato’ Seri Goh Eng Hoe bersama beberapa syarikat berkaitan di Malaysia mempunyai hubungan strategik dengan rangkaian Metech dan operasi pemprosesan e-sisa serantau.
Antara entiti yang disebut termasuk:
- IRM Industries Sdn Bhd
- Reclaimtek (M) Sdn Bhd
- Integrated Recycling Industries Philippines
- Metech International Limited
Menurut dakwaan tersebut, operasi berkenaan menggunakan model “total waste management” sebagai perlindungan korporat bagi membolehkan aktiviti pemprosesan sisa elektronik dijalankan secara sah di atas kertas.
Namun begitu, pemberi maklumat mendakwa sebahagian cip proprietari yang sepatutnya dimusnahkan sebenarnya diasingkan, diuji dan disalurkan semula ke pasaran gelap di China, Hong Kong dan Taiwan.

Modus Operandi Dato’ Seri Goh Eng Hoe
Aduan itu turut menghuraikan beberapa kaedah operasi yang didakwa digunakan, antaranya:
i. Pengalihan Cip Proprietari
Cip semikonduktor milik syarikat multinasional didakwa tidak dimusnahkan sepenuhnya seperti diwajibkan dalam kontrak pemulihan e-sisa.
ii. Penjualan Pasaran Gelap
Komponen yang masih berfungsi didakwa dijual semula melalui rangkaian pengedaran di Shenzhen, Hong Kong dan Taiwan.
iii. Rasuah Pegawai Industri
Terdapat dakwaan bahawa pegawai pembelian, pengurusan gudang dan kakitangan syarikat teknologi antarabangsa dirasuah bagi membolehkan produk tidak dimusnahkan.
iv. Pengubahan Wang Haram
Dana hasil operasi tersebut didakwa dialirkan melalui struktur korporat dan pelaburan rentas negara.
IPO Emits dan Penguasaan Korporat Goh Eng Hoe
Kontroversi menjadi lebih sensitif apabila dokumen prospektus IPO Emits Berhad sendiri menunjukkan bahawa Dato’ Seri Goh Eng Hoe merupakan individu paling dominan dalam struktur pemilikan syarikat.

Struktur Pegangan Saham Utama Selepas IPO

Sebelum IPO, Goh dilaporkan memegang kira-kira 46.6% kepentingan langsung sebelum dikurangkan kepada 34% selepas tawaran awam.
Prospektus juga mengesahkan beliau diklasifikasikan sebagai “Promoter” dan “Substantial Shareholder”
Hubungan Dengan Syarikat Berkaitan
Dokumen IPO turut menunjukkan beberapa transaksi pihak berkaitan antara Emits dan syarikat yang dikaitkan dengan Goh.

Walaupun transaksi tersebut dinyatakan dilakukan pada terma “arm’s length”, ia tetap dikategorikan sebagai “related party transactions” di bawah keperluan Bursa Malaysia.

Dakwaan Perlindungan Politik dan Kegagalan Penguatkuasaan
Emel aduan itu turut membuat dakwaan serius bahawa operasi tersebut menikmati perlindungan daripada pihak tertentu dalam institusi penguatkuasaan dan pentadbiran.
Antara agensi yang disebut dalam dakwaan tersebut ialah Bank Negara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Penulis aduan mendakwa kelemahan tindakan penguatkuasaan telah menyebabkan sindiket tersebut terus beroperasi tanpa pendakwaan menyeluruh.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang keputusan mahkamah awam yang mengesahkan dakwaan-dakwaan tersebut terhadap Goh Eng Hoe atau Emits Berhad.
Seruan Campur Tangan Amerika Syarikat
Dalam emel yang dihantar kepada Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat itu, pemberi maklumat menggesa supaya siasatan rentas sempadan dilancarkan bagi:
- menyemak log pemusnahan cip syarikat AS di Asia Tenggara;
- mengaudit manifes penghantaran dan rantaian bekalan;
- membekukan aliran kewangan haram; dan
- menyiasat kemungkinan pelanggaran harta intelek serta pengubahan wang haram antarabangsa.
Aduan tersebut turut mendakwa bahawa skala operasi berkenaan melibatkan isu keselamatan teknologi dan perlindungan harta intelek strategik milik syarikat semikonduktor Barat.
Pendedahan berkaitan dakwaan operasi haram rentas sempadan ini meletakkan IPO Emits Berhad di bawah perhatian baharu, khususnya apabila figura utama syarikat itu, Dato’ Seri Goh Eng Hoe, didakwa mempunyai kaitan dengan rangkaian korporat yang disebut dalam emel aduan antarabangsa tersebut.
