KUALA LUMPUR- PRG Holdings Berhad mengumumkan rombakan kepimpinan syarikat menerusi beberapa pelantikan baharu di peringkat Lembaga Pengarah dan pengurusan eksekutif sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kepimpinan bagi mengukuhkan tadbir urus korporat serta memastikan kesinambungan operasi syarikat.
Dalam kenyataan media hari ini, syarikat memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah pada 6 Julai lalu telah meluluskan beberapa pelantikan strategik berdasarkan keperluan kepimpinan dan organisasi Kumpulan.
Antara perubahan utama ialah pelantikan Steven Kang Boon Lian sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengarah Eksekutif PRG Holdings Berhad. Beliau sebelum ini menerajui perniagaan kecekapan tenaga Kumpulan dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kecekapan tenaga, bangunan hijau, pusat data, sistem HVAC, pembangunan perniagaan serta khidmat nasihat teknikal.
Pada masa sama, PRG turut melantik Shahjanaz binti Datuk Kamaruddin sebagai Pengarah syarikat bagi memperkukuh lagi keupayaan Lembaga Pengarah. Seorang peguam bertauliah, Shahjanaz memiliki pengalaman dalam bidang perundangan dan kesetiausahaan korporat, khususnya melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Hextar Industries serta rakan kongsi di firma guaman Azlin Shaharbi & Associates. Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan penting di Malaysia Airlines termasuk sebagai Penasihat Undang-Undang Kumpulan dan Setiausaha Syarikat.
Dalam perkembangan sama, Andrew Chan Lim-Fai menantu Datuk Ng Yan Cheng telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengarah Eksekutif berkuat kuasa selepas memaklumkan hasrat tersebut kepada Lembaga Pengarah pada 6 Julai. Menurut PRG, peletakan jawatan itu dibuat demi kepentingan terbaik syarikat, manakala beliau kini sedang membantu memastikan proses peralihan tugas kepada penggantinya berjalan lancar. Lembaga Pengarah turut merakamkan penghargaan atas sumbangan beliau sepanjang menerajui Kumpulan. Nampaknya tekanan berjaya menyebabkan Andrew Chan Lim-Fai meletak jawatan
PRG menjelaskan bahawa perubahan kepimpinan ini dijangka memperkukuh amalan tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti dan memastikan hala tuju strategik syarikat terus sejajar dengan kepentingan jangka panjang para pemegang saham.
Syarikat turut mengesahkan bahawa semakan bebas yang sedang dijalankan oleh PKF Covenant Equity Consulting Sdn. Bhd. akan diteruskan tanpa sebarang gangguan mengikut mandat yang telah diluluskan. PRG berkata sebarang perkembangan berkaitan semakan tersebut akan diumumkan kepada Bursa Malaysia apabila proses berkenaan selesai.
Selain itu, syarikat memaklumkan akan meneruskan semua tindakan pemulihan yang bersesuaian bagi mendapatkan semula jumlah yang masih terhutang kepada Kumpulan melalui saluran undang-undang yang berkaitan, di samping menegaskan komitmen untuk terus mematuhi keperluan pendedahan maklumat Bursa Malaysia sekiranya berlaku sebarang perkembangan material.
