Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan 33 akaun dengan anggaran RM150 juta berkait siasatan kes penyelewengan dana NGO IKRAM Hulu Selangor yang mendapat projek kutipan zakat dari MAIPs Perak.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata setakat ini daripada tiga tangkapan dilakukan dua direman, dan 11 saksi dirakam keterangan bagi siasatan kes berkenaan, selain memaklumkan 40 saksi dikenal pasti.
“SPRM menyita aset tak alih dianggarkan bernilai RM27 juta melibatkan empat bidang tanah, tujuh unit rumah, tiga premis pejabat, 18 kereta, dan barangan kemas. Selain itu, 33 akaun bank dibekukan dengan jumlah anggaran RM150 juta,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak SPRM kini sedang meneliti aliran keluar masuk dana bagi mengenal pasti pergerakan kewangan yang berkaitan, sebagai sebahagian daripada usaha melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan dana yang dianggarkan mencecah RM230 juta.
‘MONEY TRAIL’ DANA NGO
Azam berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Kuala Pilah sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Terdahulu SPRM mengesahkan kes itu melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta bukan dari dana Zakat MAIPs tetapi dari projek kutipan projek zakat NGO IKRAM dan sumbangan orang awam.
Azam berkata, siasatan mendapati NGO IKRAM menerima dana daripada pelbagai sumber termasuk 60% komisen daripada kutipan ZAKAT MAIPs sebelum disalurkan kepada golongan memerlukan.
Dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an iaitu Fakhrudin Abd Karim CEO Hulu Selangor dan Arifin Abdul Manaf timbalan pengerusi NGO Hulu Selangor yang juga kedua-duanya Pengarah syarikat Pengkalan Sutramas Sdn Bhd (konsultan IKRAM Hulu Selangor), direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.


Sementara itu, Azam berkata pihaknya akan memanggil 14 hingga 15 saksi bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana NGO milik seorang pendakwah bebas di Negeri Sembilan.
Sementara itu SPRM Negeri Sembilan menahan seorang pendakwah bebas atau Ustaz Abdullah Abdol Razak (Ustazlah)yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi bersama isterinya. Ustazlah itu direman selama lima hari bantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat itu daripada institusi perbankan secepat mungkin namun adalah dijangka akan diperolehi dalam tempoh seminggu.
“Bagi kedua-dua kes ini mungkin akan berlaku sedikit kelewatan kerana kita perlukan masa untuk dapatkan dokumen bank bagi di Selangor bagi 2018-2022, kalau 2023 hingga 2025 berdasarkan pengalaman saya ia mudah diperoleh,” katanya.
Azam juga memaklumkan, proses siasatan kedua-dua kes terbabit kemungkinan akan mengambil sedikit masa kerana SPRM perlu mendapatkan maklumat daripada institusi bank.
“Kedua-dua kes ini, selain daripada kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, kita juga melihat pada kesalahan di bawah Seksyen 403 (Kanun Keseksaan), iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang.
“Kita juga melihat kesalahan pecah amanah dan telah membuka fail kesalahan pengubahan wang haram bagi kedua-dua kes,” katanya.
