
KUALA LUMPUR – Chin Hin Group Property Bhd bersetuju menjual dua lot tanah perindustrian pegangan bebas di Johor Bahru kepada Miroad Rubber Industries Sdn Bhd pada harga tunai RM19.3 juta.
Tanah berkenaan melibatkan sebidang lot perindustrian ringan seluas 1.35 hektar yang belum dibangunkan serta satu lagi seluas 0.89 hektar yang mempunyai bengkel dan pejabat. Kedua-duanya terletak di Kampung Kangkar Tebrau.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata harga jualan ditentukan selepas mengambil kira kekangan khusus termasuk kehadiran menara voltan tinggi serta hak laluan milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Walaupun lebih rendah daripada penilaian pasaran gabungan RM28.8 juta pada Februari lalu, pelupusan ini masih munasabah kerana faktor-faktor yang menjejaskan nilai hartanah,” kata Chin Hin.
Syarikat itu membeli tanah tersebut pada 2012 dengan harga RM6.76 juta, sekali gus mencatat keuntungan ketara walaupun dijual di bawah nilai pasaran semasa.
Hasil jualan akan digunakan untuk bayaran balik pinjaman bank RM10 juta, modal kerja RM7.62 juta, bayaran Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) RM1.21 juta serta kos pelupusan dianggarkan RM477,000.
Chin Hin menjangka urus niaga itu selesai menjelang Jun 2026, tertakluk kepada kelulusan dan keadaan pasaran.