
KUALA LUMPUR – Ivory Properties Group Bhd mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Low Eng Hock, telah melepaskan semua jawatan dalam pemaju hartanah berpangkalan di Pulau Pinang itu, berkuat kuasa 22 Ogos 2025.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, syarikat yang kini diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) itu menyatakan bahawa peletakan jawatan Low adalah atas sebab-sebab peribadi walaupun semua tahu
Dagangan saham Ivory Properties turut digantung sementara selama sejam dari 9 hingga 10 pagi pada hari sama susulan pengumuman tersebut.
Meskipun berundur daripada barisan pengurusan, Low, 62, masih kekal sebagai pemegang saham utama syarikat dengan pegangan langsung sebanyak 17.25% dan pegangan tidak langsung sebanyak 5.76% setakat 24 Ogos. Beliau juga merupakan bapa kepada Pengarah Eksekutif Ivory Properties, Low Wei Shane, serta suami kepada Datin Khoo Siew Siew yang turut memegang saham utama dalam syarikat.
Pada 21 Ogos lalu, Ivory Properties mengesahkan bahawa Low sedang memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan terhadap skim pelaburan kontroversi, MBI International.
Dalam makluman terbarunya, lembaga pengarah menyatakan syarikat tidak mempunyai maklumat lanjut untuk didedahkan pada peringkat ini.
“Lembaga pengarah mengesahkan bahawa setakat ini, siasatan berkenaan tidak memberi sebarang kesan kewangan atau operasi kepada syarikat. Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan The Corporate Secret yang mendakwa Low bersama seorang pengerusi eksekutif sebuah syarikat tersenarai awam lain telah ditahan oleh pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada siasatan berkenaan.