KUALA LUMPUR, 28 April — Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank milik Cropmate Berhad mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pasaran apabila kira-kira RM12.21 juta dana dikenal pasti terlibat dalam siasatan yang sedang berjalan.
Dalam pendedahan terbaharu kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mengesahkan bahawa beberapa akaun bank miliknya termasuk anak syarikat utama, Cropmate Fertilizer Sdn Bhd, telah dibekukan pada 24 April 2026 di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Bagaimanapun, di sebalik tindakan penguatkuasaan tersebut, Cropmate memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima butiran penuh berhubung asas atau skop siasatan berkenaan — satu perkembangan yang lazimnya menunjukkan siasatan masih di peringkat awal atau melibatkan elemen transaksi yang lebih kompleks termasuk kemungkinan pihak ketiga.
Lantik peguam
Dalam usaha menangani situasi itu, Cropmate telah melantik peguam kanan, Datuk Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama bersama firma Mustafa, Ling & Co. Pasukan guaman tersebut telah mengemukakan surat representasi kepada SPRM bagi memohon agar akaun yang dibekukan dapat dinyahbeku.
Langkah ini dilihat sebagai usaha segera untuk mengurus kesan terhadap aliran tunai, walaupun syarikat menegaskan operasi harian kumpulan kekal berjalan seperti biasa dengan sokongan kemudahan perbankan alternatif.
Mampukan Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan firma Mustafa, Ling & Co menyelamatkan Cropmate?
Walaupun jumlah RM12.21 juta itu tidak semestinya mencerminkan keseluruhan kekuatan kewangan kumpulan, dalam konteks siasatan AMLA, pembekuan dana sering menjadi langkah awal bagi menjejaki aliran kewangan yang lebih luas.
Setakat ini, Cropmate menegaskan tiada sebarang tuduhan salah laku dikenakan terhadap syarikat. Namun, dalam amalan penguatkuasaan, tindakan di bawah AMLA lazimnya dikaitkan dengan siasatan melibatkan pengubahan wang haram, pecah amanah atau transaksi meragukan, yang berpotensi melibatkan pihak luar dalam rantaian perniagaan.
Pemerhati melihat perkembangan ini sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih tegas pihak berkuasa dalam memantau integriti kewangan syarikat tersenarai. Pembekuan akaun kini dilihat sebagai mekanisme kawalan bagi menghalang pergerakan dana sementara siasatan dijalankan.
Cropmate dalam kenyataannya memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes dan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perubahan material.
Saham Cropmate Susut Selepas Akaun Dibekukan SPRM
Saham Cropmate Berhad susut dalam dagangan hari ini susulan berita pembekuan akaunnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Setakat jam 11.55 pagi, kaunter itu didagangkan pada 19.5 sen, turun 0.5 sen atau 2.5%, dengan julat dagangan antara 19 sen hingga 20 sen dan sejumlah 25.54 juta saham bertukar tangan.

Tekanan jualan dilihat lebih ketara apabila 29.69 juta unit ditawarkan pada paras 20 sen berbanding 7.05 juta unit dalam barisan belian pada 19.5 sen.
