Kumpulan Padini Holdings Berhad mengesahkan sebanyak 21 akaun bank milik syarikat dan beberapa anak syarikatnya telah dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, kumpulan itu berkata akaun yang terlibat merangkumi tiga akaun di bawah Padini Holdings, empat akaun di bawah Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd dan tujuh akaun di bawah Padini Corporation Sdn Bhd.
Selain itu, empat akaun lagi melibatkan Padini Dot Com Sdn Bhd, satu akaun di bawah Seed Corporation Sdn Bhd serta dua akaun di bawah Vincci Ladies’ Specialties Centre Sdn Bhd, menjadikan jumlah keseluruhan 21 akaun yang dibekukan.

Pengumuman itu menyusuli kenyataan terdahulu pada 24 April 2026 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengeluarkan perintah pembekuan akaun sebagai sebahagian daripada siasatan melibatkan pihak luar yang mempunyai urusan dengan kumpulan tersebut.
Padini menegaskan sekali lagi bahawa pihak luar berkenaan bukan pekerja, pegawai mahupun sebahagian daripada pengurusan syarikat.
“Syarikat ingin menegaskan bahawa berdasarkan maklumat semasa, kami tidak mengetahui sebarang dakwaan atau salah laku terhadap pihak kami dan memahami bahawa pembekuan ini merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan,” menurut kenyataan bertarikh 25 April.
Kumpulan itu turut menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada entiti terlibat merupakan anak syarikat utama seperti yang ditakrifkan di bawah keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, sekali gus menunjukkan impak langsung terhadap operasi teras adalah terhad.
Namun melihat kepada struktur syarikat dan 21 akaun bank dibekukan jelas anak syarikat utamanya terlibat. Jumlah ini mungkin akan bertambah berdasarkan ‘money trail’ oleh SPRM

Walaupun akaun dibekukan, Padini menegaskan operasi harian kekal berjalan seperti biasa tanpa gangguan terhadap aktiviti perniagaan. Syarikat juga telah melantik penasihat undang-undang luar dan sedang mengambil langkah sewajarnya termasuk memohon pelepasan bagi mencairkan akaun yang terjejas.
Dari sudut pasaran, tindakan pembekuan ini dilihat sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan di bawah AMLA dan bukan penentuan bersalah. Namun, bagi syarikat pengguna berskala besar seperti Padini, perkembangan ini tetap membawa implikasi reputasi serta risiko persepsi pelabur, khususnya jika siasatan melibatkan rangkaian pihak ketiga dalam rantaian perniagaan kumpulan.
