KUALA LUMPUR – Skandal siasatan pengubahan wang haram yang melibatkan tokoh kontroversi pasaran modal digelar mafia korporat Victor Chin Boon Long kini semakin menimbulkan persoalan apabila beberapa akaun bank milik MMAG Holdings Berhad dilaporkan telah dibekukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkembangan itu didedahkan sendiri oleh MMAG dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia pada 10 Mac, yang memaklumkan bahawa beberapa akaun bank milik kumpulan telah dibekukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM sejak Oktober hingga November 2025. Dibeku tahun lalu namun menyembunyikan masalah itu sehinggalah didedahkan.
Menurut kenyataan syarikat, akaun yang terjejas telah dibekukan lebih 90 hari dan masih kekal dibekukan sehingga kini.
Victor Chin Keluar Negara Sebelum Siasatan
Kronologi kes ini bermula apabila Victor Chin dipercayai meninggalkan Malaysia pada 4 Oktober 2025 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengikut maklumat rekod pintu keluar imigresen, beliau dilaporkan keluar negara beberapa hari sebelum tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dilakukan.
Pemergian tersebut dipercayai berlaku ketika siasatan awal berkaitan aktiviti kewangan mencurigakan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Orang Kanan Direman PDRM
Tidak lama selepas itu, beberapa individu yang dikaitkan dengan rangkaian korporat Victor Chin telah ditahan bagi membantu siasatan.
Antara yang direman ialah Francis Leong See Wui, yang merupakan pemegang saham utama serta Pengarah Eksekutif Hong Seng Consolidated Berhad.

Turut ditahan isteri Victor Chin Boon Long, Lim Siew Ping, direman oleh pihak polis antara empat hingga sebelas hari bagi membantu siasatan. Isteri pertama Victor Chin Chan See Ying turut disiasat PDRM.

Penahanan Francis Leong bagaimanapun menimbulkan persoalan kerana tiada pengumuman dibuat kepada Bursa Malaysia oleh Hong Seng Consolidated, walaupun beliau merupakan individu penting dalam syarikat tersenarai awam.
Victor Chin Kembali dan Ditahan AMLA
Selepas hampir tiga bulan berada di luar negara, Victor Chin dilaporkan kembali ke Malaysia pada 29 Disember 2025.
Setibanya di negara ini, beliau telah ditahan oleh Bahagian AMLA PDRM bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.

namun mengekalkan maklumat yang sesuai untuk dipaparkan
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Namun sehingga kini, tiada kenyataan rasmi atau makluman kepada Bursa Malaysia berhubung penahanan tokoh tersebut. Yang ada terkini ialah pengumuman MMAG Holdings di Bursa mengenai pembekuan akaun.
Pelupusan Saham Ketika Siasatan Berjalan
Ketika siasatan masih berjalan, pasaran turut dikejutkan dengan beberapa transaksi pelupusan saham besar yang melibatkan MMAG.
Pada 9 Januari, Pengerusi MMAG Datuk Seri Farhash Salvador dilaporkan telah melupuskan kira-kira 20 juta saham MMAG melalui transaksi luar pasaran malah mencatatkan kerugian hampir RM100 juta.

Beberapa hari kemudian, pada 13 Januari, tokoh pasaran saham Dato’ Fam Chee Way, atau dikenali sebagai Dato’ Ben, turut melupuskan sebanyak 117.4 juta saham MMAG.
Pelupusan saham dalam jumlah besar ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan pelabur mengenai perkembangan sebenar dalam kumpulan syarikat tersebut. Dato’ Fam Chee Way melalui syarikat Velocity Capital Sdn Bhd adalah penjamin kepada saham-saham Victor Chin dan Farhash.
Akaun Bank Dibekukan Lebih 90 Hari
Dalam pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia pada 10 Mac, MMAG memaklumkan bahawa beberapa akaun bank milik kumpulan telah dibekukan oleh PDRM sejak Oktober hingga November 2025.
Lebih mengejutkan, syarikat memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang perintah pembekuan rasmi dan tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai butiran perintah tersebut.
Menurut syarikat, pembekuan akaun hanya disedari apabila kumpulan tidak dapat membuat pembayaran bagi perbelanjaan operasi.
Persoalannya benarnya MMAG Holdings tak tahu sedangkan mereka tahu Victor Chin ditahan pada 29 disember dan diburu sebelum itu. Bezanya media perdana tidak melaporkan kedudukan Victor Chin.
Operasi Terpaksa Guna Akaun Alternatif
MMAG memaklumkan bahawa kumpulan telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan operasi harian dapat diteruskan.
Antaranya termasuk menggunakan akaun bank lain yang tersedia bagi membolehkan operasi berjalan sementara menunggu penjelasan daripada pihak berkuasa.
Syarikat juga menyatakan bahawa mereka sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembekuan akaun tersebut.
Gaji Pekerja Anak Syarikat Tertangguh
Namun perkembangan ini turut menimbulkan isu lain apabila terdapat laporan bahawa syarikat MJet anak syarikat dalam kumpulan MMAG menghadapi kelewatan pembayaran gaji pekerja bagi bulan Februari.
Keadaan ini menimbulkan spekulasi sama ada pembekuan akaun bank oleh pihak berkuasa memberi kesan langsung kepada aliran tunai kumpulan.
Setakat ini, syarikat masih belum memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara tersebut.
Persoalan Besar Terhadap Tadbir Urus
Kes ini kini menimbulkan beberapa persoalan besar dalam kalangan pemerhati pasaran.
Antaranya termasuk mengapa beberapa perkembangan penting seperti penahanan individu berkepentingan tidak diumumkan kepada Bursa Malaysia, serta sama ada pelupusan saham besar-besaran mempunyai kaitan dengan siasatan AMLA yang sedang dijalankan.
Sehingga kini, kedua-dua syarikat yang sering dikaitkan dalam episod ini – MMAG Holdings Berhad dan Hong Seng Consolidated Berhad – masih belum memberikan penjelasan penuh mengenai keseluruhan kronologi kejadian tersebut. Tiba-tiba hari ini mengaku akaun bank syarikat dibekukan. Bermakna syarikat menyembunyikan isu supaya tidak menjejaskan syarikat mereka.
