Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu pemilikan saham pada 19 Februari lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, dalam satu kenyataan 22 Februari lalu. Menurut beliau, Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan bagi meneliti isu tersebut telah bersidang pada tarikh berkenaan.
“Berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa sedang meneliti aspek pematuhan serta keteraturan pemilikan saham oleh Azam,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa jawatankuasa berkenaan masih dalam proses menilai segala keterangan yang diperoleh dan akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan.
“Jawatankuasa memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional,” tambah beliau.
Menurut Shamsul Azri, hasil siasatan berserta syor bagi pertimbangan tindakan lanjut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham tersebut. Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.
Isu berkenaan timbul susulan laporan agensi berita kewangan antarabangsa, Bloomberg L.P., yang mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam dalam satu sidang media sebelum ini menegaskan bahawa pegangan sahamnya bernilai kira-kira RM800,000 dalam syarikat berkenaan dibuat secara telus dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Jawatankuasa saham Azam Baki sebelum ini
Beberapa jawatankuasa khas telah ditubuhkan sebelum ini bagi meneliti isu pemilikan saham Azam Baki. Hasil siasatan terdahulu pada tahun 2022 mendapati tiada unsur jenayah dapat dibuktikan dan perkara tersebut diklasifikasikan sebagai tidak melibatkan sebarang kesalahan jenayah. Ketika itu, penjelasan turut diberikan bahawa saham tertentu dikendalikan oleh ahli keluarga.
Bagaimanapun, baru-baru ini sebuah jawatankuasa khas sekali lagi dibuat untuk memanggil beliau untuk memberi keterangan bagi meneliti aspek pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa. Secara prinsipnya, penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002 berhubung Pengisytiharan Harta, yang menetapkan kewajipan pematuhan integriti dan pengisytiharan aset.
Apa Keputusan jawatankuasa kali ini? Penganalisis berpendapat jawatan sama akan dibuat dengan mengumumkan tiada unsur jenayah dan kesalahan Azam Baki mungkin perubahan baharu hanyalah kontrak Azam Baki tidak disambung sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Suasana menang-menang untuk semua.
