KUALA LUMPUR — NexG Berhad kini berdepan cabaran besar untuk memulihkan keyakinan pasaran selepas syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM85.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Kerugian itu mencetuskan persoalan mengenai beberapa keputusan pelaburan strategik yang dibuat ketika era pengurusan lama termasuk sewaktu pengaruh Abu Hanifah Noordin dan rangkaian korporat Victor Chin Boon Long kini menjadi liabiliti besar kepada syarikat.
Laporan kewangan terbaru NexG menunjukkan keuntungan RM115.7 juta pada tahun sebelumnya bertukar menjadi kerugian RM85.7 juta walaupun hasil kumpulan hanya menurun sekitar 7% kepada RM348.16 juta.
NexG Berhad mengakui bahawa kerugian yang dicatatkan syarikat berpunca terutamanya daripada kerugian nilai saksama pelaburan (“fair value loss on other investments”) serta rosot nilai pinjaman (“allowance for loan receivables”). Faktor tersebut dilihat memberi kesan besar terhadap prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh semasa.
Secara keseluruhan, NexG merekodkan kerugian nilai saksama pelaburan sebanyak RM111.94 juta, manakala rosot nilai pinjaman pula mencecah RM56.24 juta. Keadaan itu mencerminkan tekanan kewangan yang berpunca daripada keputusan pelaburan dan pengurusan aset terdahulu sebelum syarikat memasuki fasa pemulihan di bawah pengurusan bahar
Pelaburan era lalu satu kesilapan?
Perhatian kini tertumpu kepada beberapa transaksi korporat besar yang dibuat NexG sepanjang tempoh lalu, khususnya melibatkan syarikat-syarikat yang sering dikaitkan dengan ekosistem korporat Victor Chin.
Antara transaksi utama yang direkodkan dalam laporan kewangan ialah:
1. pembelian 175 juta saham MMAG Holdings Berhad bernilai RM70 juta;
2. pembelian 402 juta saham NexG Bina Berhad daripada Hong Seng Consolidated Berhad bernilai RM60.3 juta;
3. pembelian lebih 414 juta waran NexG Bina bernilai RM16.47 juta.

Untuk rekod, NexG Bina sebelum ini dikenali sebagai Classita Holdings, antara syarikat yang sering dikaitkan dengan beberapa siri pergolakan korporat dan spekulasi pasaran sebelum ini termasuk pendedahan media mafia korporat Victor Chin Boon Long pada tahun tahun 2023.
Semua ini gara-gara era Abu Hanifah terperangkap dan terpedaya dengan Victor Chin untuk membeli semua saham dalam syarikat senarai awam yang dikuasainya seperti MMAG Holdings, NexG Bina (Classita) dan Hong Seng Consolidated Berhad.
Hari ini semua ahli mafia korporat termasuk Victor Chin telah disingkirkan oleh Datuk Ishak Ismail sebagai Pengerusi dan pemegang saham utama NexG Baharu.
Gesaan Siasatan Dalaman
Sebelum ini turut timbul dakwaan bahawa siasatan dalaman pernah digerakkan bagi meneliti beberapa keputusan pelaburan dan transaksi strategik yang dibuat ketika era pengurusan terdahulu melibatkan kumpulan Abu Hanifah dan rangkaian korporat Victor Chin.
Antara perkara yang dipercayai menjadi perhatian termasuk rasional pembelian beberapa saham tertentu pada nilai yang tinggi, selain justifikasi terhadap pelaburan yang dibuat dalam syarikat berkaitan. Pada masa sama, turut timbul persoalan mengenai tahap pendedahan risiko terhadap dana syarikat serta kemungkinan wujud konflik kepentingan dalam beberapa urus niaga strategik yang dilaksanakan sebelum ini.
Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai hasil siasatan tersebut, perkembangan kerugian besar dalam laporan kewangan terbaru bukti era lama Abu Hanifah melakukan pelaburan secara tergesa-gesa akibat nasihat Victor Chin selaku COO ketika itu.
Dalam suasana tersebut, Pengerusi Eksekutif, Datuk Haji Ishak Ismail dilihat berdepan cabaran besar untuk merombak semula struktur dan hala tuju NexG Berhad bagi memulihkan keyakinan pasaran serta mengukuhkan kedudukan syarikat untuk jangka panjang.
Operasi Datasonic Masih Kukuh
Di sebalik kerugian itu, operasi teras NexG melalui Datasonic Technologies Sdn. Bhd anak syarikat NexG masih mencatat prestasi operasi yang stabil dan kukuh.
NexG mencatatkan hasil sebanyak RM348.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, disokong terutamanya oleh segmen penyelesaian tersuai termasuk bekalan kad pintar, pasport dan perkhidmatan personalisasi.
Bagi suku keempat sahaja, kumpulan merekodkan hasil RM103.32 juta, hampir stabil berbanding RM103.78 juta pada suku sama tahun sebelumnya. Malah, prestasi suku semasa menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 30% berbanding suku sebelumnya yang mencatat RM79.29 juta.
Walaupun kumpulan mencatat kerugian keseluruhan, sebahagian besar tekanan prestasi sebenarnya berpunca daripada kerugian nilai saksama pelaburan dan rosot nilai pinjaman, bukannya kelemahan operasi perniagaan teras.
Kumpulan turut mencatat aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM95.02 juta, mencerminkan keupayaan operasi menjana tunai yang masih kukuh.
Kedudukan kewangan NexG juga menunjukkan beberapa petunjuk positif apabila jumlah aset meningkat 15% kepada RM638.42 juta, manakala jumlah liabiliti menurun 8.4% kepada RM98.64 juta, terutamanya hasil pembayaran balik pinjaman jangka pendek.
Sepanjang tahun kewangan tersebut, Datasonic turut berjaya memperoleh beberapa kontrak utama kerajaan termasuk:
i. kontrak pembekalan pasport Malaysia bernilai RM1.728 bilion; dan
ii. kontrak MyKad bernilai RM732.72 juta daripada Kementerian Dalam Negeri.
NexG turut menyatakan keyakinan bahawa program MyKad dan pasport baharu akan terus memacu momentum perniagaan kumpulan dalam tempoh akan datang.
Laporan kedudukan pasport Malaysia sebagai pasport keenam paling berkuasa di dunia berdasarkan penarafan antarabangsa terkini turut dilihat mencerminkan tahap keselamatan, teknologi dan integriti sistem dokumen perjalanan negara yang berada pada standard tinggi antarabangsa. Pencapaian itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pengeluaran pasport Malaysia, termasuk aspek keselamatan dan teknologi yang dibangunkan oleh Datasonic Group Berhad, berjaya memenuhi piawaian ketat global serta mendapat pengiktirafan dan kepercayaan pelbagai negara di dunia, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menikmati akses perjalanan lebih luas ke pelbagai destinasi antarabangsa.
Ishak Perlu Teruskan Pembersihan Korporat
Kemunculan Datuk Haji Ishak Ismail sebagai tokoh utama dalam struktur baharu NexG kini dilihat sebagai usaha untuk menstabilkan semula syarikat selepas tempoh pergolakan korporat yang panjang.
Namun laporan kewangan terbaru ini memberi gambaran bahawa pengurusan baharu bukan sahaja perlu memulihkan prestasi syarikat, malah turut menanggung beban keputusan pelaburan yang dibuat pada era terdahulu.
Pemerhati pasaran berpendapat Ishak wajar meneruskan siasatan dalaman secara menyeluruh terhadap semua pelaburan berisiko tinggi yang dibuat ketika era lama termasuk transaksi melibatkan syarikat-syarikat berkaitan rangkaian Victor Chin.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha penting untuk memulihkan semula keyakinan pelabur terhadap syarikat, di samping memperkukuh amalan tadbir urus korporat agar lebih telus dan berintegriti. Pada masa sama, tindakan itu juga bertujuan mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem kawalan dalaman syarikat serta memastikan isu atau kesilapan yang sama tidak berulang pada masa hadapan.
Datuk HIshak Ismail sebagai tokoh dominan dalam NexG Berhad dilihat banyak pihak sebagai titik perubahan penting dalam usaha memulihkan syarikat daripada kemelut era pengurusan terdahulu.
Langkah merombak struktur pemegang saham, melakukan perubahan dalam lembaga pengarah serta pertukaran juruaudit dianggap sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan penstrukturan semula yang lebih menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan terhadap tadbir urus syarikat.
Sebagai tokoh korporat Melayu berpengalaman luas dalam dunia perbankan dan perniagaan, Ishak dilihat tampil sebagai figura penting yang membawa pendekatan lebih berhati-hati serta memberi penekanan terhadap disiplin korporat dan kestabilan jangka panjang syarikat.
Walaupun Abu Hanifah Noordin masih kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, pengaruh dan kedudukan Ishak sebagai pemegang saham terbesar serta Pengerusi Eksekutif kini dilihat jauh lebih dominan dalam menentukan hala tuju strategik syarikat.
Pemerhati pasaran turut berpendapat tidak mustahil perubahan pengurusan lebih besar boleh berlaku pada masa depan sekiranya pegangan saham pihak tertentu terus berkurangan atau sekiranya sebarang siasatan dalaman dan pihak berkuasa membawa kepada penemuan yang memberi kesan terhadap kredibiliti pengurusan lama.
Dalam masa sama, kekuatan asas operasi NexG yang masih disokong kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit, khususnya dalam segmen identiti digital, MyKad, pasport dan sistem keselamatan negara, dilihat mampu membantu syarikat kembali stabil. Prestasi operasi teras yang kukuh dijangka menjadi faktor utama untuk menyerap kerugian terdahulu akibat pelaburan saham, rosot nilai pinjaman serta keputusan strategik era lama, sekali gus memulihkan keyakinan pelabur dan pasaran modal terhadap masa depan NexG.
