Selepas lebih dua tahun bergelut dengan tekanan kewangan, kejatuhan harga saham, litigasi, pembatalan urus niaga strategik serta rombakan besar dalam kepimpinan, Widad Group Berhad kini memasuki fasa baharu apabila memilih pendekatan berbeza bagi memulihkan keyakinan pasaran.
Daripada hampir dikuasai oleh Hextar Technologies Solutions Bhd, kumpulan itu akhirnya mengambil keputusan menyusun semula kepimpinan dengan melantik Dato’ Tengku Shaifuddin B. Tengku Dato’ Jamaluddin sebagai Pengerusi baharu, seorang tokoh korporat yang mempunyai latar belakang kerabat diraja Pahang, selain mengekalkan kesinambungan keluarga pengasas menerusi pelantikan Isyraf Widad Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah sebagai Pengarah Eksekutif.
Langkah itu dilihat sebagai usaha membina semula keyakinan pelabur selepas episod paling mencabar dalam sejarah Widad sejak awal tahun 2024.

Krisis Bermula Dengan Kejatuhan Harga Saham
Kemelut Widad bermula pada Januari 2024 apabila saham syarikat itu terjerumus dalam kejatuhan mendadak susulan gelombang forced selling yang turut melibatkan YNH Property Berhad dan Rapid Synergy Berhad.
Krisis tersebut menghapuskan lebih RM7 bilion nilai permodalan pasaran syarikat-syarikat yang terlibat dan mencetuskan panik dalam kalangan pelabur Bursa Malaysia.
Bagi Widad, kejatuhan harga saham itu memberi kesan besar kepada pengasasnya, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah, apabila pegangan sekitar 30.11 peratus yang dimilikinya ketika itu dilaporkan mengalami kerugian atas kertas dianggarkan hampir RM300 juta.
Peristiwa itu bukan sahaja menjejaskan nilai pasaran syarikat, malah mencetuskan persepsi bahawa Widad sedang berdepan tekanan kecairan tunai serta masalah aliran tunai yang serius.
Prestasi Kewangan Terus Merosot
Sepanjang 2024 sehingga 2025, kedudukan kewangan Widad terus tertekan.
Pendapatan kumpulan menyusut dengan ketara manakala prestasi pembinaan semakin perlahan. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Widad merekodkan hasil sekitar RM130.5 juta dengan kerugian sebelum cukai hampir RM195 juta, didorong rosot nilai aset kontrak dan penghutang kira-kira RM190 juta.
Keadaan itu menyebabkan ekuiti pemegang saham merosot lebih 50 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan kumpulan.
Hextar Hampir Menguasai Widad
Dalam usaha memperkukuhkan kedudukan kewangan, Widad mengumumkan cadangan mengambil alih tanah industri di Nilai bernilai RM31.3 juta melalui penerbitan hampir 994 juta saham baharu kepada Hextar Technologies Solutions Bhd.
Sekiranya urus niaga itu berjaya disempurnakan, Hextar milik ahli perniagaan Dato’ Eddie Ong Choo Meng dijangka muncul sebagai pemegang saham terbesar Widad dengan pegangan sekitar 24.15 peratus.

Cadangan tersebut mengundang pelbagai reaksi kerana ia bakal mengubah struktur pemegang saham syarikat yang diasaskan oleh Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.
Dato’ Eddie Ong Choo Meng merupakan pemilik Hextar Group terlibat dalam skandal MBI yang disiasat PDRM baru-baru ini.

Projek LRA RM219.2 Juta Tambah Tekanan
Pada Mei 2026, perhatian turut tertumpu kepada projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau dan Selambau di Kedah bernilai RM219.2 juta yang dikaitkan dengan Widad.
Projek itu menjadi perhatian susulan dakwaan kelewatan serta pelbagai isu pelaksanaan, sekali gus menambahkan tekanan terhadap reputasi kumpulan ketika cadangan pengambilalihan oleh Hextar masih dalam proses.

Hextar Tarik Diri, Pengasas Berundur
Bagaimanapun, pada Jun 2026, Hextar dan Widad mengumumkan penamatan cadangan urus niaga tersebut.
Dengan pembatalan itu, Hextar tidak lagi menjadi bakal pemegang saham terbesar Widad, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai perubahan kawalan syarikat.
Tidak lama selepas itu, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah turut melepaskan jawatan sebagai Executive Deputy Chairman, menandakan berakhirnya satu era kepimpinan beliau di barisan eksekutif syarikat.
Errata Laporan Tahunan Timbulkan Perhatian
Pada penghujung Jun 2026, Widad sekali lagi menjadi perhatian apabila mengeluarkan Errata Laporan Tahunan 2025.
Walaupun syarikat menjelaskan pembetulan hanya melibatkan maklumat pada halaman Kedudukan Kewangan, angka yang dikemas kini menunjukkan ekuiti pemegang saham telah menyusut kepada RM208.04 juta daripada RM432.01 juta, manakala NTA sesaham direkodkan pada 6.67 sen, jauh lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Pembetulan tersebut turut menarik perhatian kerana laporan asal memaparkan angka NTA sesaham yang kemudiannya diperbetulkan menerusi dokumen errata.
Berdepan Litigasi Tetapi Elak Pembubaran
Dalam tempoh sama, anak syarikat milik penuh Widad, Widad Builders Sdn. Bhd., turut berdepan beberapa tindakan undang-undang termasuk petisyen pembubaran.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengeluarkan perintah pembubaran selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian melalui Perintah Persetujuan, walaupun syarikat masih perlu mematuhi jadual pembayaran yang dipersetujui.
Pada masa sama, Widad turut memperoleh kemenangan awal dalam tuntutan terhadap Dataprep Holdings Berhad apabila Mahkamah Tinggi membenarkan penghakiman terus berjumlah RM1.31 juta, walaupun baki tuntutan masih diteruskan.
WIDAD Group Berhad pernah menjadi pemegang saham terbesar Dataprep Holdings Berhad selepas memperoleh 64.2 peratus kepentingan dalam syarikat itu pada 2017. Namun, apabila Widad berdepan tekanan kewangan dan kejatuhan harga saham, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah mula mengurangkan pegangan tersebut. Pada April 2024, Widad melalui Wardah Communication Sdn. Bhd. menjual 16.13 juta saham Dataprep di pasaran terbuka sehingga pegangannya susut kepada 3.79 peratus, sekali gus menyebabkan syarikat itu tidak lagi berstatus sebagai pemegang saham utama (substantial shareholder) dalam Dataprep.
Guna Kerabat Pahang Untuk Bangkit Semula
Selepas melalui episod sukar tersebut, Widad memilih pendekatan baharu bagi memulihkan keyakinan pasaran.
Pada Julai 2026, syarikat mengumumkan pelantikan Dato’ Tengku Shaifuddin Tengku Jamaluddin sebagai Pengerusi baharu, manakala Nor Azlan Zainal dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif. Siapa sebenarnya Tengku Shaifuddin? Apakah WIDAD akan terlibat dengan bidang perniagaan baru selepas Tengku Shaifuddin di bawah masuk?

Pelantikan Tengku Shaifuddin, yang mempunyai hubungan dengan kerabat diraja Pahang serta pengalaman luas dalam bidang korporat dan pelaburan, dilihat sebagai isyarat bahawa Widad kini memilih pendekatan berteraskan pengukuhan tadbir urus dan kepimpinan baharu selepas terselamat daripada perubahan kawalan yang hampir berlaku menerusi cadangan kemasukan Hextar.
Dalam masa sama, Isyraf Widad Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif, memastikan keluarga pengasas terus mempunyai wakil dalam lembaga pengarah.
Sama ada strategi tersebut berjaya mengembalikan keyakinan pelabur, ia masih bergantung kepada keupayaan pengurusan baharu memperbaiki prestasi kewangan, menyelesaikan isu litigasi yang masih berbaki serta mengembalikan keuntungan kumpulan selepas lebih dua tahun melalui tempoh paling mencabar dalam sejarah Widad.
Setakat penutupan dagangan pada 17 Julai 2026, harga saham Widad Group Berhad berada pada RM0.015 (1.5 sen) sesaham tanpa sebarang perubahan berbanding penutupan sebelumnya. Pada harga tersebut, Widad mempunyai permodalan pasaran sekitar RM46.8 juta dengan kira-kira 3.12 bilion saham diterbitkan, manakala julat dagangan bagi tempoh 52 minggu ialah antara 0.5 sen hingga 2.0 sen sesaham. Prestasi ini menunjukkan kemerosotan yang amat ketara berbanding zaman kemuncaknya apabila saham Widad pernah didagangkan melebihi RM1.00 sesaham pada tahun 2021. Walaupun saham itu pernah pulih seketika ke paras sekitar 8.5 hingga 9.0 sen pada Julai 2024 ketika aktiviti dagangan meningkat, nilainya kini kembali susut kepada hanya 1.5 sen, iaitu kira-kira 98 hingga 99 peratus lebih rendah berbanding paras tertinggi yang pernah dicapai.

Apakah Dato’ Tengku Shaifuddin Tengku Jamaluddin akan membeli saham-saham WIDAD? setakat hingga kini belum ada pengumuman rasmi syarikat Tengku Shaifuddin bakal membeli saham-saham WIDAD.

