Tekanan politik terhadap dakwaan skandal “mafia korporat” yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin memuncak apabila dua parti politik utama, DAP dan MCA, secara berasingan menuntut siasatan bebas dan telus dijalankan segera.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut susulan laporan penyiasatan oleh Bloomberg baru-baru ini.
Menurut Gobind, walaupun SPRM telah menafikan dakwaan berkenaan, penafian semata-mata tidak mencukupi untuk memulihkan keyakinan awam dan pelabur.
“Prinsip asas keadilan menetapkan bahawa tiada sesiapa boleh menjadi hakim dalam kes sendiri. Apabila integriti agensi pencegahan rasuah utama negara dipersoalkan, penjelasan yang dikeluarkan sendiri tidak memadai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Digital berkata, dakwaan yang dibangkitkan adalah khusus dan menamakan individu serta syarikat tertentu, selain merujuk kepada kes yang boleh dikenal pasti. Justeru, katanya, RCI adalah mekanisme terbaik kerana mempunyai kuasa statutori untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan bebas.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, turut menyatakan bahawa menteri-menteri parti itu akan mendesak penubuhan RCI dalam mesyuarat Kabinet.
Laporan Bloomberg mendakwa wujud satu modus operandi atau ‘playbook’ tertentu, di mana sekumpulan ahli perniagaan dikatakan membeli pegangan saham dalam syarikat sasaran sebelum aduan dibuat kepada SPRM. Susulan itu, siasatan didakwa dilancarkan terhadap pengasas atau pengurusan asal syarikat, termasuk serbuan, pembekuan akaun bank dan penahanan untuk soal siasat. Bloomberg memetik dokumen mahkamah, laporan polis serta temu bual dengan lebih 20 individu, termasuk saksi dan pegawai semasa agensi tersebut.
Bagaimanapun, SPRM menafikan semua tuduhan berkenaan.
Sementara itu, Presiden MCA, Wee Ka Siong, turut menggesa siasatan penuh dan telus dilakukan terhadap dakwaan bahawa pegawai-pegawai SPRM terlibat dalam skema “mafia korporat” yang didakwa menggunakan serbuan dan intimidasi untuk memaksa tokoh perniagaan menjual saham mereka.
Dalam hantaran di media sosial dan satu video di Facebook, Wee menegaskan bahawa isu tersebut serius dan perlu ditangani secara profesional.
“Mafia korporat adalah isu serius yang perlu disiasat secara menyeluruh dan telus. Jika ada pesalah, heret ke muka pengadilan. Namun siasatan dan hukuman mesti dilaksana secara bersasar dan profesional,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai tindakan pembekuan akaun syarikat tersenarai awam di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Menurutnya, walaupun rasuah dan pengubahan wang haram tidak boleh dikompromi, kuasa membekukan akaun perlu disertai mekanisme pemantauan yang ketat bagi mengelakkan kesan negatif terhadap operasi syarikat dan pelabur kecil.
Wee merujuk kepada kes pada 2022 yang melibatkan Caely Holdings Bhd, apabila akaun syarikat tersebut dan anak-anak syarikatnya dibekukan sejak April tahun berkenaan.

Semuanya kerana rampasan mafia korporat Victor Chin Boon Long terhadap Caely Holding Bhd (Classita)



Sama ada melalui penubuhan RCI seperti dicadangkan DAP atau mekanisme siasatan menyeluruh seperti dituntut MCA, tekanan kini tertumpu kepada kerajaan untuk menentukan langkah seterusnya dalam menangani dakwaan yang telah menarik perhatian dalam dan luar negara ini.
