KUALA LUMPUR: PT Susantri Permai, anak syarikat Genting Plantations Bhd di Indonesia, telah dikenakan denda pentadbiran berjumlah 396 bilion rupiah (kira-kira RM96.6 juta) oleh pihak berkuasa Indonesia selepas didapati melanggar peraturan penggunaan kawasan hutan.
Menurut makluman rasmi Genting Plantations kepada Bursa Malaysia, PT Susantri Permai — yang merupakan anak syarikat tidak langsung dengan pegangan 95% — menerima notis interim daripada Satuan Tugas Penertiban Kawasan Hutan Indonesia, pasukan khas kerajaan yang ditubuhkan bagi membanteras pencerobohan dan operasi perladangan di zon hutan yang dilindungi.
Syarikat itu mengesahkan bahawa bayaran denda telah dibuat, namun memaklumkan bahawa notis tersebut masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada keputusan akhir pihak berkuasa Indonesia.
Bagaimanapun, Genting Plantations tidak mendedahkan secara terperinci bentuk pelanggaran, keluasan kawasan hutan yang terlibat atau tempoh operasi yang menjadi asas kepada tindakan penguatkuasaan berkenaan. Syarikat juga tidak menyatakan sama ada penalti hampir RM100 juta itu akan memberi kesan material kepada kedudukan kewangan kumpulan.
Tindakan terhadap PT Susantri Permai ini berlaku ketika kerajaan Indonesia sedang memperketat penguatkuasaan terhadap syarikat perladangan, termasuk syarikat asing, yang didakwa beroperasi secara tidak patuh di kawasan hutan. Dalam banyak kes sebelum ini, tanah yang terlibat telah dirampas dan dipindahkan kepada syarikat perladangan milik kerajaan, iaitu Agrinas Palma Nusantara.
Sebagai rekod, Genting Plantations — anak syarikat Genting Bhd — memiliki simpanan tanah kira-kira 64,300 hektar di Malaysia dan sekitar 178,900 hektar di Indonesia, termasuk ladang di bawah skim plasma. Kumpulan itu turut mengendalikan tujuh kilang kelapa sawit di Malaysia dan enam di Indonesia, dengan kapasiti pemprosesan gabungan mencecah 725 tan sejam.
Kes ini menggariskan risiko pematuhan undang-undang dan cabaran tadbir urus (ESG) yang semakin ketara bagi kumpulan perladangan yang beroperasi merentasi sempadan, khususnya di Indonesia yang kini mengamalkan pendekatan penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap pelanggaran kawasan hutan.
