PUTRAJAYA — Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda berjumlah RM11.38 bilion terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau didapati bersalah atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, pada kira-kira jam 9 malam selepas mendapati Najib bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Bagi setiap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun, manakala bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram, hukuman penjara lima tahun dikenakan. Kesemua hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak.
Secara terperinci, mahkamah mengenakan denda seperti berikut:
- Pertuduhan pertama: denda RM303,149,197.15 dan penjara tambahan 10 tahun jika gagal membayar
- Pertuduhan kedua: denda RM454,499,636.40 dan penjara tambahan 10 tahun
- Pertuduhan ketiga: denda RM10,407,384,630 dengan tambahan 10 tahun penjara jika gagal dibayar
- Pertuduhan keempat: denda RM222,854,603.50 dan tambahan 10 tahun penjara jika ingkar
Secara keseluruhan, jumlah denda yang dikenakan mencecah RM11.38 bilion.
Mahkamah turut memutuskan bahawa semua hukuman penjara ini hanya akan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani hukuman sedia ada dalam kes SRC International, selaras dengan peruntukan Seksyen 292 Kanun Tatacara Jenayah. Hakim menegaskan bahawa kes SRC dan kes 1MDB adalah dua kes berasingan melibatkan transaksi berlainan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), Najib dijatuhi hukuman maksimum lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan, tanpa denda, dan semuanya berjalan serentak dengan hukuman di bawah Akta SPRM.
Mahkamah turut mengarahkan Najib membayar semula RM2.081 bilion sebagai harta yang boleh dilucutkan di bawah Seksyen 55(2) AMLA. Sekiranya gagal berbuat demikian, beliau boleh dikenakan hukuman tambahan dua tahun enam bulan penjara bagi setiap sembilan pertuduhan pengubahan wang haram.
Dalam penghakimannya, Hakim Sequerah berkata beliau telah mempertimbangkan semua faktor mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan serta hujahan pemberat oleh pihak pendakwaan, termasuk kepentingan awam dan prinsip pencegahan sebagai asas utama dalam penentuan hukuman.
Mahkamah juga mengambil kira latar belakang tertuduh, tempoh perkhidmatan awamnya serta faktor-faktor peribadi lain, namun menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan melibatkan penyalahgunaan amanah berskala besar dan memberi kesan serius terhadap negara.
Hakim turut merekodkan bahawa Najib tidak memohon penangguhan pelaksanaan hukuman, namun beliau masih mempunyai hak untuk berbuat demikian pada peringkat seterusnya.
Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion melalui akaun AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, antara Februari 2011 hingga Disember 2014, di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.
Beliau juga berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan antara Mac hingga Ogos 2013, mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLA, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu beberapa pegawai pendakwa lain. Najib pula diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bersama barisan peguam kanan termasuk Datuk Tania Scivetti dan pasukan pembelaan beliau.
Kes berprofil tinggi ini bermula apabila Najib didakwa pada 20 September 2018, dengan perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019. Sepanjang hampir tujuh tahun prosiding berjalan, mahkamah mendengar keterangan daripada 50 saksi, selain hujahan panjang pihak pendakwaan dan pembelaan, menjadikan kes ini antara perbicaraan jenayah paling panjang dan mendapat perhatian antarabangsa dalam sejarah negara.
