
Reputasi Careplus Group Bhd kini semakin tercalar selepas anak syarikatnya yang dimiliki 51%, NexV Manufacturing Sdn Bhd, dinamakan sebagai Defendan Kesembilan dalam saman sivil bernilai RM3.53 juta yang difailkan oleh ahli perniagaan Teo Yun Hock (TYH) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Writ saman bertarikh 12 Januari 2025 menamakan 19 defendan, antaranya Intro Synergy Sdn Bhd, Go Auto Sales Sdn Bhd, serta individu berprofil tinggi seperti Sheikh Mohamad Azli bin Sheikh Mohamad Nasimuddin Kamal, anak kepada isteri kedua Allahyarham Tan Sri Nasimuddin.
Dakwaan Penipuan: Go Auto & Sheikh Azli
Teo Yun Hock mendakwa Go Auto Sales (Defendan Kedua) gagal melunaskan baki harga belian saham Autohome Motor Sdn Bhd (Defendan Pertama) berjumlah RM3.53 juta. Menurut plaintif, wujud perjanjian tambahan di mana Sheikh Mohamad Azli (Defendan Ketiga) memberi jaminan pembayaran bagi jumlah tertunggak itu.
Namun, TYH menuduh kedua-dua defendan tersebut bertindak secara penipuan, dengan menyeleweng wang daripada transaksi jualan saham untuk membiayai syarikat-syarikat lain dalam rangkaian mereka – termasuk NexV Manufacturing dan Intro Synergy. TYH menegaskan wujud konspirasi korporat bersama defendan lain untuk menipu beliau.
TYH kini menuntut penghakiman terhadap semua defendan secara bersama dan berasingan.

NexV Gagal Strike Out – Careplus Terheret
Pada 9 April 2025, NexV cuba membatalkan saman melalui permohonan strike out. Namun Mahkamah menolak permohonan tersebut, sekali gus memaksa NexV — dan secara langsung Careplus sebagai syarikat induk — menghadapi perbicaraan penuh.
Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 Julai hingga 15 Oktober 2026, menjadikan kes ini berlarutan hampir dua tahun.
Implikasi Terhadap Bursa & Reputasi Careplus
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini, Careplus menyifatkan saman TYH sebagai “tidak berasas dan menyusahkan”. Tetapi hakikatnya, keputusan mahkamah yang menolak permohonan strike out NexV merupakan tamparan besar kepada reputasi kumpulan.
Walaupun jumlah tuntutan RM3.53 juta dianggap kecil berbanding kedudukan kewangan Careplus, isu sebenar ialah integriti tadbir urus korporat. Sebarang tuduhan penipuan yang dikaitkan dengan anak syarikat bakal menjejaskan keyakinan pelabur, khususnya ketika saham Careplus sedang bergelut dalam pasaran.

Pastinya Syarikat Careplus Group Bhd yang diketuai oleh Lim Kwee Shyan Group CEO selaku pemegang sahamnya bakal terkesan apabila anak syarikatnya terlibat dalam penipuan jual beli saham. Jika SC menerima aduan pastinya kesan lebih buruk kepada Careplus Group Bhd

Rangkaian Politik-Korporat: Sheikh Azli di Tengah Pertikaian
Kes TYH juga membuka semula persoalan hubungan rapat antara perniagaan keluarga politik dan syarikat tersenarai. Nama Sheikh Mohamad Azli muncul sebagai individu utama yang didakwa menyeleweng dana untuk membiayai syarikat dalam rangkaian beliau.

TYH mendakwa, corak pengaliran dana melalui syarikat-syarikat seperti Intro Synergy dan NexV Manufacturing menunjukkan strategi klasik: guna syarikat proksi untuk alih wang daripada transaksi asal.

Risiko Tadbir Urus Nyata
Walaupun Careplus menafikan kesan material terhadap operasi harian, realitinya kes ini adalah ujian besar kepada kredibiliti kumpulan. Pelabur kini menunggu sama ada Careplus boleh mempertahankan diri atau terpaksa menanggung implikasi besar sekiranya penipuan terbukti di mahkamah.
Dengan perbicaraan ditetapkan pada 2026, kes TYH bakal menjadi barometer keyakinan pasaran terhadap Careplus dan contoh bagaimana isu tadbir urus korporat di Malaysia terus dicabar oleh hubungan politik-korporat yang rapat.