
Satu lagi insiden mengejutkan menimpa saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, apabila saksi utama pendakwaan, G. Gnanaraja, diserang oleh sekumpulan sepuluh lelaki bersenjata di kediamannya di Petaling Jaya.
Dalam kejadian sekitar jam 6.30 pagi semalam, kumpulan penyerang bersenjata parang memecah masuk ke rumah Gnanaraja dengan terlebih dahulu mengikat dua pengawal keselamatan. Mereka kemudian bertindak menyerang beliau dan memberi amaran agar tidak lagi memberi keterangan di mahkamah dalam kes yang sedang berlangsung.
“Saya dipukul dengan besi di kepala, ditumbuk di mulut hingga perlu lima jahitan. Mereka kata ini baru permulaan. Kalau saya terus buka mulut di mahkamah, mereka akan datang semula. Saya hanya mampu angkat tangan dan cakap saya takkan buka mulut,” kata Gnanaraja dalam satu sidang media, hari ini.
Kejadian itu bukan sekadar serangan fizikal tetapi jelas membawa mesej ugutan. Gnanaraja menegaskan beliau menolak dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan kejadian itu sebagai rompakan semata-mata. Katanya, kawasan rumahnya memiliki kawalan keselamatan yang ketat dan didiami oleh golongan kenamaan, menjadikan naratif rompakan sebagai alasan yang tidak masuk akal.

Isteri beliau, Datuk G. Geethanjali, yang turut berada di rumah ketika kejadian berkata, salah satu tetakan hampir mengenai pergelangan tangan suaminya. “Kalau lebih dalam, mungkin tangannya lumpuh. Penyerang langsung tak kelihatan seperti perompak. Mereka hanya ambil apa yang sempat – termasuk kotak coklat,” katanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan dalam kenyataan awalnya mengklasifikasikan kes sebagai samun berkumpulan bersenjata. Namun, tindakan polis itu dipersoalkan oleh peguam keluarga mangsa.
Peguam Gnanaraja, Datuk RT Rajasekaran, menyelar langkah polis yang tergesa-gesa membuat klasifikasi rompakan sebelum siasatan lengkap dijalankan. Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai bentuk intimidasi terhadap saksi utama pendakwaan dalam kes yang membabitkan tokoh politik berpengaruh.
“Ini bukan rompakan. Ini cubaan menghalang anak guam saya daripada memberi keterangan terhadap YB Lim Guan Eng. Perlu diingat, seorang saksi penting lain dalam kes ini juga telah meninggal dunia secara misteri beberapa tahun lalu,” katanya, merujuk kepada kes kematian Datuk Ewe Swee Kheng.

Pada 5 Oktober 2021, Datuk Ewe, yang merupakan pengasas dan bekas Pengarah Urusan Ewein Berhad serta penaja utama DAP Pulau Pinang, ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat empat Kondominium The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang. Beliau adalah saksi ke-15 dalam siasatan SPRM berhubung projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang. Kematian beliau diklasifikasikan polis sebagai “kematian mengejut”, namun ramai pihak percaya wujud tekanan luar biasa sebelum insiden itu.
Perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng dijadualkan bersambung pada 19 Ogos ini. Lim menghadapi beberapa pertuduhan membabitkan projek mega Terowong Dasar Laut bernilai RM6.3 bilion. Antara pertuduhan termasuk meminta 10 peratus daripada keuntungan syarikat Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, menerima RM3.3 juta dan meluluskan pelupusan dua lot tanah kerajaan negeri kepada syarikat berkaitan projek.
G.Ghanaraja saksi utama penting kes rasuah Lim Guan Eng yang baru-baru ini mengaku membuat akaun bank Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd untuk menyalurkan wang rasuah bernilai jutaan ringgit kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan pihaknya akan membangkitkan isu serangan terhadap saksi itu dalam perbicaraan akan datang dan meminta pihak berkuasa memberi perlindungan sewajarnya.
Dua kejadian besar – kematian saksi dan serangan terhadap saksi lain – membangkitkan persoalan serius mengenai keselamatan saksi dalam kes berprofil tinggi di Malaysia. Persoalannya, adakah pihak berkuasa mampu melindungi saksi penting dalam sistem kehakiman negara, atau akan terus tunduk kepada tekanan, ugutan dan permainan kuasa?
Keadilan bukan hanya bergantung kepada hakim dan peguam di mahkamah. Ia juga bergantung kepada keberanian saksi yang tampil, dan kesanggupan negara untuk melindungi mereka. Jika sistem ini gagal, maka yang menang bukan kebenaran – tetapi ketakutan.