KUALA LUMPUR – ENRA Group Berhad, syarikat yang dikaitkan dengan anak kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi, terus mengorak langkah dalam sektor strategik negara apabila memeterai kerjasama dengan Boustead Holdings Bhd bagi projek penyelenggaraan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kerjasama tersebut dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) melibatkan anak syarikat ENRA, ENRA Energy Solutions Sdn Bhd (EES) yang dimiliki sebanyak 70 peratus, manakala Boustead Holdings merupakan syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ENRA memaklumkan bahawa kolaborasi itu akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) melibatkan sistem pendorongan serta penjanaan tenaga kapal, selain sokongan kitar hayat bagi kapal permukaan yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.
Perkembangan ini turut mengundang perhatian susulan kedudukan Tan Sri Dato’ Kamaluddin Abdullah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENRA, selain mempunyai kepentingan besar dalam syarikat tersebut dengan anggaran pegangan sekitar 32.01%, sebahagiannya melalui beberapa entiti pelaburan.

Menurut ENRA, kerjasama itu turut merangkumi penyertaan bersama dalam tender projek maritim terpilih, perkongsian kepakaran teknikal serta pembangunan keupayaan logistik termasuk pengurusan alat ganti dan penyeragaman sistem.
MoU tersebut berkuat kuasa selama setahun sehingga 20 April 2027 dan boleh dilanjutkan melalui persetujuan bersama.
Walaupun syarikat memaklumkan tiada impak kewangan material dalam jangka masa terdekat, langkah ini dilihat berpotensi membuka ruang lebih besar kepada ENRA dalam sektor pertahanan — satu industri yang sensitif dan berkait rapat dengan kepentingan negara.
