KUALA LUMPUR: Tokoh kewangan Islam negara, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dalam urus niaga sekuriti tanpa lesen sah, yang didakwa berlaku antara 2021 hingga 2023.

Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia itu, yang kini berusia 62 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
“Faham dan saya mohon dibicarakan, Yang Arif,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai pertuduhan.
Pertuduhan
Mengikut pertuduhan, Mohd Daud didakwa selaku wakil kepada syarikat yang terlibat dalam aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, telah bersubahat dengan AUF MBZ dalam menjalankan aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti. AUF MBZ merupakan syarikat yang diasaskan oleh Dato Sri Mahadi.

AUF MBZ didakwa menjalankan aktiviti tersebut tanpa memiliki Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal serta tidak berdaftar bagi aktiviti terkawal berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan akibat persubahatan Energy Eco, dan Mohd Daud sebagai wakil syarikat berkenaan ketika kejadian, disifatkan turut melakukan kesalahan tersebut.
Kesalahan itu didakwa berlaku di C6-1, Jalan Reef ½, Pusat Perniagaan Reef, Rawang, dalam Daerah Gombak, antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, dibaca bersama Perenggan 370(c) dan Seksyen 367(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 58(4) akta tersebut, yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Isu Jaminan
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Shoba Venu Gobal, memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesalahan berkenaan adalah serius dan tergolong dalam kesalahan tidak boleh dijamin.

Beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin, selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SC terdekat.
Namun, peguam bela Mohd Haziq Razali memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan yang bermula sejak 2024.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 April ini.
Pengasas pelaburan haram AUF MBZ didakwa
Sementara itu rakan subahat Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar , Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman yang juga Presiden AUF MBZ, didakwa di Mahkamah Sesyen, atas dua pertuduhan menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen sah.

Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, suami kepada penyanyi dan aktivis Heliza Helmi itu didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.
Kesalahan adalah mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) Akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin, selain mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta mewajibkan beliau melapor diri di pejabat Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebulan sekali. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan semua syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
ARTIKEL LAIN
