KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijangka dihadapkan ke Mahkamah esok berhubung siasatan melibatkan wang tunai bernilai hampir RM170 juta.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, Ahli Parlimen Bera berkenaan dijangka hadir di kompleks mahkamah pada sebelah pagi bagi menghadapi pertuduhan. Bagaimanapun, butiran pertuduhan dan peruntukan undang-undang yang akan digunakan masih belum diumumkan secara rasmi.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan perbelanjaan serta perolehan dana bagi promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika Ismail Sabri menerajui pentadbiran negara dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Siasatan tersebut membawa kepada penyitaan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing bernilai sekitar RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas yang ketika itu dianggarkan bernilai RM7 juta.
Pada 2025, wang tunai berjumlah lebih RM169 juta yang dikaitkan dengan Ismail Sabri dan bekas setiausaha politiknya dilucut hak kepada kerajaan selepas permohonan berkenaan tidak dicabar.
