Krisis melibatkan Widad Group Berhad kini semakin membimbangkan apabila syarikat itu bukan sahaja berdepan tekanan kewangan dan kejatuhan saham di Bursa Malaysia, malah turut dihantui kegagalan dua projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah bernilai keseluruhan sekitar RM219.2 juta yang sehingga kini terus dipersoalkan rakyat.
Di Pulau Pinang Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Bayan Baru Fasa 2 oleh Widad Group Berhad bernilai RM242.38 juta mengalami kelewatan berjadual dan berdepan pelbagai isu pelaksanaan. Berdasarkan semakan, projek ini tertangguh dari tarikh penyiapan asal (25 Mei 2019) dan dikategorikan dalam fasa Pembinaan
Dalam masa sama, kumpulan Hextar milik taikun skandal MBI, Dato’ Eddie Ong Choo Meng kini muncul sebagai kuasa korporat baharu paling dominan dalam Widad selepas siri transaksi penerbitan saham besar-besaran yang dijangka mengubah sepenuhnya struktur pemilikan syarikat tersebut.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan besar sama ada Widad kini sedang menuju ke arah “pengambilalihan senyap” ketika syarikat berkenaan dihimpit pelbagai masalah projek, tekanan hutang dan reputasi pasaran yang semakin merosot atau bakal bakal melingkup dengan siri kerugian dan saman berjuta ringgit.
Dua Projek LRA Kedah Bernilai RM219.2 Juta Kepada Widad
Kontroversi terbesar yang kini menghantui Widad ialah kegagalan dua projek berkaitan bekalan air di Kedah melibatkan:
- Projek LRA Sungai Limau bernilai RM89.8 juta
- Projek LRA Bukit Selambau bernilai RM129.4 juta
Kedua-dua projek tersebut diberikan kepada Widad Group Berhad melalui anak syarikatnya, Widad Builders Sdn Bhd.

Apa yang mengundang perhatian ialah kedua-dua kontrak besar itu diberikan dalam tempoh yang sangat dekat sekitar tahun 2021, walaupun Widad ketika itu sudah terlibat dengan pelbagai projek mega lain yang turut menerima kritikan berkaitan pelaksanaan dan kelewatan.
Situasi tersebut kini menimbulkan persoalan mengenai proses penilaian dan pemilihan kontraktor oleh kerajaan negeri Kedah ketika itu.
Janji Kedah “Masalah Air Selesai Menjelang 2023” Gagal Direalisasikan
Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah pernah mengumumkan bahawa isu bekalan air negeri akan diselesaikan menerusi projek-projek naik taraf dan pembinaan LRA baharu menggunakan peruntukan sekitar RM900 juta daripada kerajaan Persekutuan.
LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau dijadikan antara projek utama bagi menyelesaikan krisis bekalan air yang telah lama menghantui rakyat Kedah.
Namun selepas bertahun-tahun berlalu, rakyat masih terus berdepan gangguan bekalan air, manakala projek yang dijanjikan pula didakwa lewat, bermasalah dan sebahagiannya dilaporkan hampir terbengkalai.
LRA Bukit Selambau Didakwa Lewat Serius
Selain isu Sungai Limau, projek LRA Bukit Selambau juga dikaitkan dengan kelewatan ketara.
Maklumat projek menunjukkan kerja naik taraf LRA Bukit Selambau sepatutnya siap pada Disember 2023, namun projek itu dilaporkan menerima beberapa lanjutan masa (EOT) sehingga tahun 2025.
Dalam Hansard Kedah sebelum ini, projek Sungai Limau dan Bukit Selambau turut disebut sebagai berjalan “terlalu perlahan”, sekali gus memberi kesan kepada usaha menyelesaikan isu air di negeri tersebut.
Laporan berkaitan projek itu juga mendakwa beberapa komponen penting termasuk sistem pam utama masih belum diperoleh walaupun tempoh projek telah berlarutan begitu lama.
Keadaan itu menambahkan persepsi bahawa masalah projek air Kedah bukan lagi isu kelewatan biasa, sebaliknya membabitkan kelemahan pengurusan projek yang serius.

Projek Sungai Limau Didakwa Terbengkalai
Keadaan lebih buruk dilaporkan berlaku terhadap projek LRA Sungai Limau.
Walaupun kontrak asal tamat sekitar Oktober 2023, projek tersebut gagal disiapkan mengikut jadual walaupun beberapa lanjutan masa diberikan.
Pemeriksaan kementerian pada tahun 2024 pula dilaporkan mendapati sebahagian kerja asas utama masih belum dilaksanakan walaupun projek telah berjalan hampir dua tahun.
Lebih memeranjatkan, projek itu kemudiannya dikatakan hampir terbengkalai sepenuhnya sejak Julai 2024 sebelum kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelamatkan pembinaan tersebut.
Difahamkan kerajaan kini terpaksa membuka tender baharu bagi melantik “kontraktor penyelamat”, dengan tambahan kos puluhan juta ringgit lagi diperlukan untuk menyiapkan projek itu.
Ini bermaksud kegagalan pelaksanaan asal bukan sahaja menjejaskan rakyat Kedah, malah berpotensi meningkatkan beban kewangan kerajaan.
Widad Kini Dihimpit Krisis Korporat– Kejatuhan harga saham
Ketika isu projek air Kedah semakin hangat diperkatakan, Widad lebih awal sedang berdepan tekanan korporat yang semakin serius. Dari Syarikat senarai awam yang mencapai banyak kejayaan kepada kehancuran.

Krisis Widad Group Berhad bermula pada Januari 2024 apabila saham syarikat itu terjerumus dalam kejatuhan mendadak susulan gelombang jualan paksa (forced selling) yang turut melibatkan YNH Property Berhad dan Rapid Synergy Berhad. Dalam tempoh hanya beberapa minggu, ketiga-tiga kaunter tersebut menyaksikan lebih RM7 bilion nilai permodalan pasaran lenyap, sekali gus mencetuskan panik besar dalam kalangan pelabur Bursa Malaysia. Kejatuhan drastik itu dipercayai berpunca daripada tindakan institusi kewangan melupuskan saham yang dicagarkan selepas berlaku tekanan margin dan kemerosotan harga pasaran secara berterusan.
Situasi tersebut turut memberi tamparan besar kepada kedudukan kewangan tokoh korporat Tan Sri Ikmal Opat Abdullah apabila kejatuhan mendadak harga saham ketika krisis itu menyebabkan nilai pegangan beliau dalam Widad Group Berhad merosot dengan ketara. Pegangan sekitar 30.11 peratus yang dimilikinya pada ketika itu dilaporkan mengalami kerugian atas kertas dianggarkan hampir RM300 juta ketika kemuncak kejatuhan pasaran. Episod forced selling tersebut bukan sahaja menggugat keyakinan pelabur terhadap Widad dan syarikat berkaitan, malah menjadi titik awal kepada persepsi bahawa kumpulan itu sedang berdepan tekanan kewangan, masalah kecairan tunai serta cabaran aliran tunai yang semakin membimbangkan.

Bukan sahaja Widad Group Berhad berdepan kejatuhan harga saham yang teruk, malah syarikat teknologi Dataprep Holdings Bhd yang turut dikuasai Tan Sri Ikmal Opat Abdullah juga mengalami tekanan pasaran yang serius sehingga memaksa beliau melupuskan sebahagian besar pegangan saham utamanya dalam Dataprep pada April 2024. Langkah itu menyebabkan baki pegangan beliau dalam syarikat tersebut menyusut kepada sekitar 3.79 peratus sahaja. Walaupun nilai transaksi tidak diumumkan, berdasarkan harga penutup saham pada 13.5 sen ketika itu, blok saham berkenaan dianggarkan bernilai sekitar RM2.18 juta.
Menambah perit, Widad mencatatkan kerugian bersih RM24.89 juta bagi tahun kewangan susulan kemerosotan projek serta cabaran mendapatkan kelulusan reka bentuk dan permit kerja di beberapa lokasi, sekali gus menyebabkan hasil syarikat gagal menampung kos pentadbiran dan operasi keseluruhan kumpulan.
Projek Langkasuka gagal
Pada tahun 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan konglomerat berpangkalan di Dubai, Bin Zayed International Group of Companies bagi membangunkan projek mega bercampur bernilai kira-kira RM40 bilion yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

Projek pembangunan bandar terapung itu pernah dibanggakan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai antara projek terbesar yang berpotensi mengubah landskap ekonomi, pelancongan dan pembangunan hartanah di Langkawi.
BACA
Bagaimanapun, projek berprofil tinggi tersebut mula berdepan pelbagai masalah apabila Bin Zayed International Group of Companies dilaporkan menarik diri pada tahun 2024 daripada usaha sama dan cadangan projek tebus guna tanah bernilai RM40 bilion itu. Penarikan diri pelabur utama dari Dubai tersebut bukan sahaja mengejutkan pasaran, malah mencetuskan persoalan besar terhadap daya maju kewangan, kemampuan pelaksanaan serta masa depan sebenar projek Langkasuka yang sebelum ini dipromosikan secara agresif sebagai pembangunan ikonik baharu di Langkawi.
Widad kes mahkamah Menta Construction Sdn Bhd Projek Langkasuka
Terbaru mac lalu, Widad Group Bhd berhadapan pertikaian undang-undang melibatkan projek pembangunan Langkasuka di Langkawi itu selepas syarikat subkontraktor Menta Construction Sdn Bhd mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut bayaran tertunggak jutaan ringgit. Pertikaian tersebut berpunca daripada kerja-kerja pembersihan tapak, kerja tanah, pembinaan tembok penahan serta perlindungan alam sekitar yang didakwa telah dilaksanakan tetapi masih belum dijelaskan sepenuhnya oleh pihak Widad.

Kemelut itu bertambah buruk apabila adjudikator memutuskan memihak kepada Menta Construction dengan award melebihi RM3 juta termasuk faedah dan kos berkaitan. Usaha Widad untuk mengetepikan keputusan adjudikasi tersebut bagaimanapun gagal selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan syarikat itu, sekali gus membenarkan tindakan penguatkuasaan diteruskan. Menta turut memulakan prosiding garnishee bagi mendapatkan semula kira-kira RM4.28 juta daripada pihak berkaitan.
Kes Langkasuka kini menjadi antara contoh paling ketara tekanan kewangan dan pertikaian pembayaran yang sedang menghimpit Widad ketika kumpulan itu turut berdepan pelbagai isu projek lain, tuntutan kontraktor serta cabaran aliran tunai dalam sektor pembinaan yang semakin mencabar.
Skandal kerugian saham HDR Corp kerana Widad Group
Muncul pula skandal pelaburan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dalam Widad Group Berhad menjadi antara penemuan paling kontroversi dalam Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024). Lebih satu pertiga daripada keseluruhan kerugian pelaburan HRD Corp yang dianggarkan sekitar RM49.38 juta dilaporkan berpunca daripada pelaburan dalam saham Widad yang dibeli pada harga sekitar 62 sen sesaham, tetapi kemudiannya merudum sehingga sekitar 5 sen sesaham. Kejatuhan drastik nilai saham itu menyebabkan HRD Corp merekodkan kerugian atas kertas dianggarkan RM18.52 juta daripada pelaburannya dalam syarikat pembinaan tersebut.

Laporan audit turut mendedahkan bahawa pelaburan tersebut dibuat menerusi perjanjian opsyen jual dan beli (Put and Call Option Agreement — PCOA) yang memberikan HRD Corp hak membeli dan menjual saham Widad dalam tempoh tertentu. Bagaimanapun, pelaburan itu menimbulkan persoalan apabila HRD Corp didakwa terus mengekalkan pegangan walaupun mengalami kerugian besar serta tidak menerima sebarang dividen daripada pelaburan berkenaan. Sehingga April 2024, HRD Corp dilaporkan masih memegang sekitar 3.12 peratus saham dalam Widad.
Kontroversi itu menjadi lebih sensitif apabila pelbagai isu lain dalam HRD Corp mula terbongkar termasuk dakwaan salah urus, kelemahan tadbir urus, pelaburan berisiko tinggi dan kemungkinan unsur rasuah melibatkan pengurusan tertinggi organisasi tersebut. Isu kerugian pelaburan dalam Widad antara yang mencetuskan perhatian pihak berkuasa sehingga membawa kepada siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa aspek pengurusan dan keputusan pelaburan HRD Corp.
Tan Sri Ikmal Opat Abdullah jual saham WIDAD kepada Taikun Skandal MBI kumpulan Hextar milik Dato’ Eddie Ong Choo Meng
Tan Sri Ikmal Opat Abdullah yang suatu ketika dahulu dilihat berjaya mengorak langkah besar bersama Widad Group Berhad kini dilihat terpaksa melalui fasa kejatuhan yang semakin mencabar susulan tekanan kewangan, kejatuhan harga saham serta pelbagai isu projek dan aliran tunai yang menghimpit kumpulan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Daripada sebuah syarikat yang pernah dikaitkan dengan projek-projek mega dan pertumbuhan agresif, Widad kini berdepan kemerosotan keyakinan pasaran serta tekanan kewangan yang semakin ketara.
Dalam keadaan syarikat semakin lemah dan bergelut untuk menstabilkan operasi, Hextar Technologies Solutions Berhad milik taikun skandal MBI, Dato’ Eddie Ong Choo Meng pula muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar Widad menerusi transaksi “land injection” yang sedang diperkatakan di pasaran. Perkembangan tersebut dilihat sebagai petanda perubahan besar dalam struktur kawalan dan hala tuju syarikat, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa era dominasi Tan Sri Ikmal dalam Widad mungkin semakin berakhir.

Melalui urus niaga tersebut, anak syarikat Hextar Technologies Solutions Berhad akan menerima hampir satu bilion saham baharu Widad sebagai pertukaran pembelian tanah industri.
Selepas transaksi selesai, Hextar dijangka menguasai lebih 23 peratus pegangan dalam Widad sekali gus mengatasi pengaruh pemegang saham lama.
Tidak mustahil selepas ini Dato’ Eddie Ong Choo Meng menendang keluar Tan Sri Ikmal Opat Abdullah dalam WIDAD. Halangan terbesar WIDAD ialah mempunyai banyak projek namun risiko terbesar ialah hutangnya yang besar.
Dato’ Eddie Ong Choo Meng bukan calang orang. Terpalit dengan skandal MBI yang sedang disiasat AMLA PDRM beliau juga telah mengambil alih banyak syarikat seperti Binasat Communications dan OPCOM milik Mukhriz yang kontroversi disiasat SPRM.

BACA ARTIKEL BERKAITAN
Persoalan Besar Terhadap Projek Widad dan Group Hextar
Apa yang berlaku terhadap Widad Group Berhad ketika ini mula menimbulkan pelbagai persoalan besar yang semakin sukar dielakkan. Dalam tempoh singkat, syarikat tersebut memperoleh beberapa projek Loji Rawatan Air (LRA) berskala besar termasuk di Kedah, sedangkan dalam masa sama beberapa projek lain didakwa mengalami kelewatan, pelanjutan masa (EOT) berulang serta masalahpelaksanaan termasuk isu berkaitan projek LRA di Pulau Pinang. Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang kemampuan sebenar Widad mengurus terlalu banyak projek serentak ketika syarikat sedang berdepan tekanan kewangan dan aliran tunai.
Pada masa sama, projek mega seperti pembangunan Langkasuka di Langkawi yang pernah dipromosikan sebagai pembangunan ikonik bernilai RM40 bilion kini pula berdepan pertikaian undang-undang dan saman subkontraktor, selain dakwaan banyak lagi projek lain yang bergerak perlahan atau terbantut. Situasi ini menyebabkan pasaran mula mempersoalkan tahap daya maju projek-projek yang diumumkan sebelum ini serta risiko sebenar yang mungkin ditanggung oleh pihak yang bakal mengambil alih kepentingan dalam kumpulan tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu, perhatian kini tertumpu kepada Hextar Technologies Solutions Berhad yang dikaitkan dengan pengambilalihan kepentingan besar dalam Widad menerusi transaksi “land injection”. Namun keadaan menjadi lebih sensitif apabila kumpulan yang dikaitkan dengan Dato’ Eddie Ong Choo Meng itu sendiri turut dikaitkan dengan kontroversi dan siasatan berkaitan skandal MBI International Group yang sebelum ini mencetuskan perhatian pihak berkuasa termasuk isu pembekuan aset dan siasatan pengubahan wang haram.
Perkembangan tersebut menimbulkan persoalan sama ada Hextar bersedia mengambil alih beban hutang, litigasi serta projek-projek bermasalah Widad, selain kebimbangan bahawa kumpulan itu sendiri mungkin turut terdedah kepada risiko reputasi dan tekanan kewangan sekiranya isu-isu projek gagal Widad terus berpanjangan pada masa hadapan.
