KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa jutaan ringgit sumbangan yang menjadi pertikaian dalam kes berkaitan projek Jana Wibawa tidak dimasukkan ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya disalurkan ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika membacakan kenyataan pembukaan berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa parti itu menerima sumbangan wang melalui kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri pada ketika itu.
Menurutnya, Bersatu mempunyai kepentingan tidak langsung dalam pelaksanaan projek Jana Wibawa, dan sumbangan tersebut diterima melalui pengaruh tertuduh dalam kerajaan.
“Kami akan membuktikan bahawa jika bukan kerana kedudukan tertuduh sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri, Bersatu tidak akan menerima sumbangan wang berjumlah jutaan ringgit,” katanya di hadapan Mahkamah Tinggi.
Wan Shaharuddin turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan membuktikan kes tersebut melalui keterangan langsung serta keterangan keadaan dengan memanggil kira-kira 30 orang saksi sepanjang perbicaraan.
Menurutnya, bagi membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak pendakwaan akan turut bergantung kepada anggapan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23(2) akta yang sama.
Beliau juga berkata Mahkamah Rayuan sebelum ini telah memutuskan bahawa Bersatu merupakan sebuah organisasi yang berkaitan dalam kes tersebut dan pertuduhan yang dikenakan di bawah Seksyen 23(1) tidak mempunyai sebarang kecacatan.
Kes pendakwaan itu dikendalikan oleh Wan Shaharuddin bersama pasukan Timbalan Pendakwa Raya lain iaitu Datuk Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat, Mahadi Abdul Jumaat, Wan Nur Imam Wan Ahmad Afzal, Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi dan Pegawai Pendakwa Mohamad Safari Abdullah.
Muhyiddin pula diwakili pasukan peguam yang diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik bersama Datuk Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Low Wei Loke, Kee Wei Loon, Siti Sumaiyah Ahmad Jaafar, Lee Yee Wei dan Tang Jia Yearn.

Prosiding yang didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin kemudian diteruskan dengan pembacaan kenyataan pembelaan oleh pihak peguam bela.
Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta untuk parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa, serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan jumlah RM195 juta antara tahun 2020 hingga 2022.
Susulan kes tersebut, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan berkaitan salah guna kuasa.
Pada 13 Mac 2023, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu lagi pertuduhan menerima wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti Bersatu.

Bukhary Equity Sdn Bhd merupakan Syarikat taikun Melayu Tan Sri Syed Moktar Al Bukhari yangs semua tahu merupakan kroni Tan Sri Muhyiddin sejak sekian lama.
Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan pertuduhan tersebut.
Pendakwaan bagaimanapun memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama.
Pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan supaya empat pertuduhan rasuah tersebut dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.
Kemudian pada 16 Jun 2025, Muhyiddin berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan semua kes berkaitan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
