KEMAMAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan Haji Hanafiah Mat, Exco Kerajaan PAS Negeri Terengganu merangkap ADUN Cukai, pagi ini atas dakwaan salah guna kuasa melibatkan pelantikan anak-anak beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Menurut kenyataan rasmi SPRM, Haji Hanafiah Mat yang berusia lingkungan 60-an ditahan kira-kira jam 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman. Beliau disyaki menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk meminta agar dua orang anaknya diambil bekerja dalam sebuah GLC negeri sebagai balasan tertentu.
Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dipercayai berlaku pada tahun 2018 dan 2020.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan oleh pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri, saudara atau sekutu.
Jika sabit kesalahan, individu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Reaksi PAS: “Mengapa Selepas Enam Tahun?”
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mempersoalkan masa tindakan tersebut diambil memandangkan dakwaan berkenaan dikatakan berlaku pada 2018 dan 2020.
Beliau berkata PAS menghormati proses siasatan dan prinsip kedaulatan undang-undang, di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Namun beliau menyifatkan situasi itu menimbulkan tanda tanya kerana kes yang didakwa berlaku enam hingga lapan tahun lalu sebelum ini tidak menunjukkan perkembangan jelas, tetapi kini tiba-tiba digerakkan untuk pendakwaan.
Menurutnya lagi, dalam keadaan politik semasa, tindakan terhadap wakil PAS yang selama ini dikenali bersih daripada rasuah berpotensi menimbulkan persepsi awam bahawa wujud agenda tertentu.
PAS juga berpandangan bahawa Haji Hanafiah Mat tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Exco kerana tugas beliau di peringkat kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi siasatan SPRM. Kes ini dijangka dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat.
Haji Hanafiah Mat, Exco Kerajaan Negeri Terengganu, pernah mencetuskan kontroversi pada tahun 2023 apabila didakwa memperlekeh inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan. Ketika itu, beliau memegang portfolio Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu. Nampaknya karma air oren merealisasikan beliau akan memakan baju Oren Lokap SPRM tak lama lagi.

