Kedudukan Tan Sri Krishnan Tan sebagai Pengerusi IJM Corporation Bhd kini berada pada tahap tidak lagi boleh dipertahankan. Siasatan berprofil tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion, serta penelitian terhadap akaun peribadi sekitar RM90 juta yang dikaitkan dengan siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), telah berkembang menjadi kes rentas sempadan apabila kerjasama rasmi dengan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom disahkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, secara terbuka mengesahkan bahawa siasatan tersebut melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa United Kingdom, termasuk SFO, serta pertukaran maklumat selaras dengan peranan SPRM sebagai agensi penguatkuasaan negara bagi kes rasuah dan jenayah kewangan.
Pengesahan ini mengubah sepenuhnya landskap kes. Ini bukan lagi siasatan domestik biasa, tetapi satu siasatan jenayah kewangan bertaraf antarabangsa.
Isu Individu, Tetapi Risiko Ditanggung IJM
Berdasarkan maklumat yang dilaporkan media serta pendedahan awal oleh portal penyiasatan The Corporate Secret, siasatan yang sedang dijalankan tertumpu kepada individu, khususnya Tan Sri Krishnan Tan dan Seow Lun Hoo @ Seow Wah Chong sebagai company adviser. Fokus siasatan ini melibatkan akaun peribadi, struktur kewangan, dan isu cukai, bukannya operasi teras IJM semata sebagai sebuah kumpulan pembinaan dan infrastruktur.
Hakikatnya Tan Sri Krishnan Tan bukan pemegang saham kawalan IJM. Pegangan saham beliau adalah kecil dan tidak material, menjadikan kedudukannya sebagai pengerusi sepenuhnya bersifat pelantikan, bukan berasaskan pemilikan ekuiti yang mengikat kepentingan peribadi dengan prestasi syarikat.

Dalam konteks ini, tiada justifikasi korporat untuk mempertahankan beliau apabila kehadirannya kini menjadi liabiliti reputasi terbuka kepada syarikat. IJM sebagai entiti korporat tidak sepatutnya dijadikan tebusan reputasi kepada siasatan peribadi yang melibatkan pengerusinya.
Apabila Siasatan Antarabangsa Bermula, Toleransi Tamat
Dalam amalan tadbir urus korporat global, penglibatan agensi penguatkuasaan asing — khususnya SFO UK, yang terkenal mengendalikan kes jenayah kewangan besar dan kompleks — merupakan garis merah.

Prinsipnya jelas, Pengerusi syarikat tersenarai tidak boleh kekal memegang jawatan apabila sedang disiasat dalam kes pengubahan wang haram yang melibatkan kerjasama penguatkuasa antarabangsa.
Pembekuan akaun, pertukaran maklumat rentas sempadan, dan siasatan cukai ke atas akaun peribadi telah melangkaui ambang risiko tadbir urus yang boleh diterima.
Pasaran tidak menunggu sabitan. Pelabur institusi menilai governance risk, dan risiko itu kini berada pada tahap tinggi dan ketara.
IJM Tidak Patut Dijadikan Perisai Reputasi
IJM Corporation Bhd ialah sebuah syarikat tersenarai awam yang disokong oleh pemegang saham institusi utama, terlibat dalam projek infrastruktur strategik negara, serta memikul kepentingan awam dan nasional yang besar. Dengan ribuan pekerja dan rangkaian rakan niaga yang luas, kestabilan serta kredibiliti IJM melangkaui kepentingan mana-mana individu. Mengheret syarikat ke dalam kitaran mempertahankan reputasi akibat isu peribadi pengerusinya adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. IJM tidak seharusnya dijadikan perisai untuk menyerap tekanan siasatan jenayah kewangan antarabangsa yang tertumpu kepada seorang individu.
Terus mempertahankan Tan Sri Krishnan Tan dalam keadaan ini hanya menghantar isyarat yang merosakkan kepada pasaran dan pemegang kepentingan — bahawa kepentingan individu mengatasi integriti institusi, bahawa lembaga pengarah gagal mengurus risiko reputasi secara tegas, dan bahawa disiplin tadbir urus korporat berada pada tahap paling minimum. Bagi sebuah syarikat sebesar IJM, pendirian sedemikian bukan sahaja menjejaskan keyakinan pelabur, malah menghakis kepercayaan awam serta prinsip akauntabiliti yang sepatutnya menjadi teras sebuah juara infrastruktur negara.
Lembaga Pengarah Tidak Boleh Terus Membisu
Dengan pengesahan rasmi kerjasama SPRM–SFO UK, tanggungjawab lembaga pengarah IJM kini tidak lagi boleh ditangguhkan.

Lembaga pengarah wajib bertindak segera dengan:
1. Meminta Tan Sri Krishnan Tan berundur serta-merta, atau
2. Menggantung peranannya sebagai pengerusi sehingga semua siasatan domestik dan antarabangsa selesai
Ini bukan pengakuan salah, tetapi langkah perlindungan institusi — selaras dengan amalan terbaik tadbir urus korporat global.
Kegagalan bertindak akan dilihat sebagai:
• Keengganan mengurus risiko reputasi serius
• Isyarat negatif kepada pelabur institusi dan pengawal selia
• Pendedahan IJM kepada kerosakan reputasi jangka panjang
Siasatan pengubahan wang haram RM2.5 bilion, isu akaun peribadi puluhan juta ringgit, serta pengesahan kerjasama SPRM–SFO UK, menandakan bahawa garis merah tadbir urus telah dilintasi.
Walaupun prinsip presumption of innocence mesti dihormati, jawatan pengerusi syarikat tersenarai menuntut piawaian integriti yang jauh lebih tinggi.
IJM tidak sepatutnya terjejas. Namun untuk memastikan itu berlaku, Tan Sri Krishnan Tan perlu berundur sekarang — demi melindungi reputasi IJM, keyakinan pasaran, dan integriti tadbir urus korporat Malaysia.
IJM dijual murah kepada kartel Sunway
Keadaan ini menjadi lebih sensitif ketika wujud spekulasi pasaran mengenai kemungkinan pengambilalihan IJM oleh Sunway Group, yang dikaitkan dengan Tan Sri Jeffrey Cheah. Penganalisis dan pemerhati pasaran memberi amaran bahawa ketidaktentuan reputasi yang berpanjangan berpotensi menekan harga saham IJM, sekali gus mewujudkan situasi penilaian yang lebih rendah. Dalam konteks penggabungan atau pengambilalihan korporat, tekanan harga sedemikian lazimnya memberi kelebihan kepada pihak pembida berbanding pemegang saham sedia ada.
Atas sebab itu, isu tadbir urus dan kepimpinan IJM tidak boleh dilihat secara terasing. Kegagalan lembaga pengarah menangani risiko reputasi secara tegas bukan sahaja menjejaskan nilai syarikat, malah membuka ruang kepada persepsi bahawa kepentingan pemegang saham institusi dan awam sedang dikompromi. Dalam landskap pasaran modal yang sensitif terhadap keyakinan, sebarang kelemahan pengurusan krisis boleh membawa implikasi strategik yang jauh lebih besar daripada sekadar turun naik harga saham jangka pendek.
