KUALA LUMPUR- Teguh Sedaya Sdn Bhd kini muncul sebagai pemegang saham terbesar firma ICT Omesti Berhad selepas memperoleh tambahan 8.5% pegangan saham, susulan pelaksanaan latihan penstrukturan dan pembersihan kunci kira-kira syarikat tersenarai itu.
Menurut pemfailan Omesti kepada Bursa Malaysia, Teguh Sedaya telah memperoleh 197.35 juta saham pada Isnin, 29 Disember 2025, sekali gus meningkatkan pegangan keseluruhannya kepada 22.57%. Perkembangan itu meletakkan Teguh Sedaya mengatasi pengasas Omesti, Datuk Mah Siew Kwok, yang kini menjadi pemegang saham kedua terbesar dengan 15.8% pegangan langsung.

Berdasarkan semakan Teguh Sedaya dimiliki 70% oleh Datin Sri Yasmin Hanim Arbee Mohammed Isa Arbee dan 30% oleh Nur Atisya Mohd Yunus.
Selain peranannya sebagai pemegang saham terbesar Teguh Sedaya, Datin Sri Yasmin Hanim juga dikenali dalam sektor pelancongan sebagai pemilik bersama YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd, yang diterajui bersama suaminya, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohd Ayub bin Hassan, selaku Pengerusi Eksekutif syarikat berkenaan. Gabungan penglibatan dalam sektor pelaburan dan pelancongan itu meletakkan Datin Sri Yasmin sebagai antara tokoh wanita korporat yang semakin menonjol di peringkat domestik.

Pemerolehan saham Omesti oleh Teguh Sedaya berpunca daripada pelupusan pegangan oleh Insas Berhad. Insas Berhad dipengerusikan oleh Y.A.M. Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Setia Hajjah Aishah bt Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan pemegang sahamnya dikuasai oleh Dato’ Sri Thong Kok Khee

Pada Selasa, Omesti memaklumkan bahawa Insas telah melupuskan satu blok 197.35 juta saham pada Isnin, yang menyebabkan syarikat pelaburan itu tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam Omesti.
Data transaksi luar pasaran Bloomberg menunjukkan urus niaga tersebut dilaksanakan melalui lima transaksi luar pasaran dengan nilai keseluruhan RM17.82 juta. Empat transaksi melibatkan 112.35 juta saham pada harga 8.3 sen sesaham, manakala satu transaksi terakhir membabitkan 85 juta saham pada harga 10 sen sesaham.
Sebelum ini, Teguh Sedaya telah memperoleh 302.92 juta saham Omesti, bersamaan 13.04% pegangan, melalui pelaksanaan penempatan persendirian. Penempatan itu, bersama terbitan hak yang dilanggan sekitar 60% oleh pemegang saham, serta penerbitan lebih satu bilion saham baharu bagi menyelesaikan saham keutamaan boleh tebus tertunggak, merupakan sebahagian daripada latihan penstrukturan semula menyeluruh Omesti.
Selain Teguh Sedaya dan Datuk Mah, pemegang saham utama lain Omesti termasuk Kenanga Yield Enhancement Fund dengan 9.04% pegangan, serta pengarah eksekutif Monteiro Gerard Clair, yang memiliki 4.9% pegangan langsung dan 2.86% pegangan tidak langsung.
Saham Omesti ditutup tidak berubah pada 8.5 sen pada Jumaat, menilai syarikat itu pada sekitar RM186.44 juta.
