
Kenyataan rasmi Pestech International Bhd yang memaklumkan pemecatan serta-merta Lim Pay Chuan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mungkin kelihatan biasa. Namun di sebalik nada korporat yang sopan, tersingkap satu kisah penuh konflik dalaman, kegagalan projek mega, pertembungan warisan keluarga — dan serangan senyap dari sebuah syarikat gergasi infrastruktur.
Lim, yang mengetuai syarikat itu sejak 2012 dan anak saudara kepada salah seorang pengasas, bukan sekadar disingkir — beliau dijatuhkan melalui satu siri peristiwa yang tersusun rapi.
PERTAMA: Projek Aerotrain KLIA- Dari Kontrak Prestij ke Kegagalan Besar
Semuanya bermula dengan projek Aerotrain KLIA — bernilai RM742.95 juta — yang diberikan kepada Pestec pada 2021. Projek itu sepatutnya menjadi permata dalam mahkota syarikat. Sebaliknya, ia menjadi punca kejatuhan.

Menjelang 2023, projek mengalami kelewatan teruk. Kegagalan memenuhi jadual pembinaan menyebabkan MAHB membatalkan kontrak pada Ogos 2023. Imej syarikat tercalar, dan sumber pendapatan utama lesap.
Dengan pelbagai drama dan penyelesaian akhirnya Pestec diberi semula kontrak itu — tetapi hanya sebagai rakan kecil dalam konsortium yang kini diketuai oleh Alstom dan IJM.
KEDUA: Dari Kerugian ,Prestasi Kewangan Menjunam, Pelabur Panik
Kesan daripada kegagalan tersebut mula dirasai dalam penyata kewangan Pestec. RM193 juta kerugian bersih dicatatkan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024. Dua kali menukar tarikh akhir tahun kewangan dalam dua tahun, mencetuskan spekulasi usaha menyembunyikan ketidakstabilan dalaman. Paras hutang pula terus meningkat, aliran tunai ketat, dan keyakinan pasaran menjunam.
Ketika ini, kepimpinan Lim Pay Chuan mula dipersoal secara terbuka oleh pelabur dan juga dalam Lembaga sendiri.
KETIGA: Perpecahan keluarga dan kesempatan Dhaya Maju Infrastructure Sdn Bhd
Lim Pay Chuan bukan sekadar CEO. Beliau juga ahli keluarga pengasas. Tetapi pada 2024, kepentingannya dalam syarikat mula mengecil — pegangan saham cair, daripada 4.97% kepada 4.52%.
Perpecahan Lim Pay Chuan dan bapa saudaranya Lim Ah Hock diambil kesempatan secara dalaman. Pada 18 Disember 2024 Lim Ah Hock dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi bukan eksekutif, setelah dipindahkan dari jawatan sebelumnya sebagai Pengerusi bukan eksekutif. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali bekas KSN mengambil jawatannya Pengerusi Pestech.
Namun terbaru pada 17 Julai 2025 Lim Ah Hock ‘dikencing’ lagi beliau dikurangkan pangkat lagi — dari Timbalan Pengerusi bukan eksekutif kepada Pengarah Bukan Eksekutif, berkuat kuasa selepas mesyuarat lembaga membuang Lim Pay Chuan daripada jawatan CEO.

Datuk Seri (Dr.) Subramaniam Pillai, Dhaya Maju Infrastructure Sdn Bhd Pengarah Eksekutif kumpulan yang menjadi penguasa Pestec menunjukkan kuasanya menyingkirkan keluarga Lim Pay Chuan.
Saman RM17.52 Juta
Namun semalam (22 Julai 2025) Lim Pay Chuan dan Lim Ah Hock bersatu menfailkan saman terhadap Pestec untuk menuntut pendahuluan gaji dan manfaat berjumlah RM17.52 juta, yang didakwa tidak dibayar setelah mereka diturunkan pangkat. Tindakan ini difailkan beberapa hari selepas mereka diturunkan pangkat, menunjukkan ia langsung berkaitan dengan peristiwa pemecatan.
KEEMPAT : Gagalnya Percubaan Menyelamat oleh IJM
Sebelum munculnya pemain luar, satu percubaan menyelamat datang dari dalam industri — menerusi kerjasama strategik dengan IJM Corp Bhd.

Pada Julai 2023, IJM bersetuju membeli 44.83% pegangan Pestech melalui terbitan saham terhad bernilai RM124 juta. Ia dilihat sebagai langkah pemulihan yang boleh memulihkan reputasi Pestech selepas skandal Aerotrain.
Namun pada Disember 2023, perjanjian dibatalkan kerana gagal penuhi syarat penting, termasuk kelulusan pemberi pinjaman dan pelabur utama. IJM akhirnya tarik diri, hanya kekal sebagai rakan teknikal dalam JV Aerotrain.Usaha menyelamat dari dalam gagal. Dan ini membuka pintu kepada kuasa luar untuk masuk.
Masuknya Dhaya Maju Infrastructure — “Power Grab” Bermula
Pada Ogos 2024, ketika Pestech sedang tenat, masuklah Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) — kontraktor mega yang punya hubungan luas dalam industri pembinaan dan kerajaan.
Melalui pelaburan strategik dan terbitan saham terhad, DMIA mula menguasai syarikat secara berperingkat. Pada Jun 2025, ia memiliki lebih 61.4% pegangan (Status terbaru) — sekaligus menguasai Pestech secara rasmi.

Langkah seterusnya ialah melantik pengasas DMIA sendiri ke dalam Lembaga Pengarah, bersama tokoh seperti bekas Ketua Setiausaha Negara. Ini bukan sekadar pelaburan — ia adalah pengambilalihan penuh kuasa korporat.
DMIA merupakan syarikat punya rekod kegagalan. Pada tahun 2020 Menteri Pengangkutan mengumumkan menamatkan kontrak Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) kepada DMIA dan rakan kongsinya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Banyak saman-saman projek tidak dapat disiapkan oleh DMIA. DMIA merupakan sebuah syarikat kartel dan hanya pandai menggunakan ‘kabel’ politiknya.
Aduan “Pemecatan Konstruktif” & Penyingkiran Mutlak
Menyedari tekanan semakin kuat, Lim Pay Chuan menghantar surat mendakwa beliau telah dipecat secara konstruktif pada 1 Julai 2025, dan membawa kes ke Jabatan Perhubungan Perusahaan. Semuanya kerana menyingkirkan beliau serta-merta sebagai CEO, dan hanya mengekalkan jawatan simbolik sebagai pengarah bukan eksekutif. Rundingan damai di bawah JPP juga gagal, selepas beliau enggan kembali bekerja. DMIA kini sepenuhnya menguasai lembaga, operasi, dan masa depan Pestech.
Siapa Menang, Siapa Kalah?
Lim Pay Chuan kini tinggal sejarah. Syarikat yang pernah dibangunkan oleh keluarganya kini dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh entiti luar. Dari luar, ia kelihatan seperti “penstrukturan semula.” Tetapi bagi yang mengikuti rapat, ini adalah kudeta korporat penuh licik.
Soalnya sekarang — adakah ini akan menyelamatkan Pestech dari kemusnahan dari semua DMIA syarikat yang gagal? Atau membuka jalan kepada satu bentuk kronisme dan konsesi baru di bawah pemilik baru?
Yang pasti, nasib Lim Pay Chuan menandakan satu pengakhiran — dan permulaan kepada satu bab baru dalam sejarah Pestech International Bhd.