
KUALA LUMPUR, 19 Julai 2025 – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Plantations Berhad (THP), Mohamed Zainurin Mohamed Zain telah diarahkan bercuti serta-merta, manakala Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Marliyana Omar meletak jawatan serta-merta susulan dakwaan pembayaran tidak sah bernilai RM5.1 juta kepada pekerja ladang.
Menurut kenyataan THP kepada Bursa Malaysia hari ini, arahan cuti terhadap Mohamed Zainurin berkuat kuasa mulai tarikh surat tunjuk sebab dikeluarkan, dan akan berlanjutan sehingga makluman selanjutnya diberikan. Dalam masa sama, Marliyana telah menyerahkan surat peletakan jawatannya tanpa notis, berkuat kuasa serta-merta.
“Syarikat akan meneruskan perniagaan seperti biasa. Untuk sementara ini, peranan CEO akan dikendalikan oleh jawatankuasa eksekutif lembaga (exco lembaga) THP sehingga notis selanjutnya,” kata THP dalam kenyataan itu.
Barisan jawatankuasa exco tersebut terdiri daripada Datuk Dr Ahmad Kushairi Din (Pengerusi THP), Kasmuri Sukardi (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif), Nor Adila Ismail(Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif) dan Alikamal Abu Hassan – Ketua Pegawai Operasi (COO).

Siasatan dalaman dilaporkan sedang dijalankan berhubung dakwaan pembayaran tidak sah yang dipercayai melibatkan sejumlah RM5.1 juta kepada kumpulan pekerja ladang dalam syarikat.
Langkah drastik ini mencetuskan persoalan mengenai ketelusan urus tadbir di dalam syarikat perladangan yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Haji itu.
TH Plantations merupakan antara syarikat perladangan yang terlibat secara aktif dalam pengurusan ladang kelapa sawit di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia sejak tahun 2006.