Skandal eFishery di Indonesia kini bukan lagi sekadar isu kegagalan sebuah startup teknologi akuakultur, tetapi semakin menjadi perhatian serantau selepas beberapa dana institusi besar dikaitkan dengan kerugian pelaburan bernilai ratusan juta ringgit. Apa yang pernah dipromosikan sebagai syarikat “unicorn” Asia Tenggara akhirnya runtuh selepas pendedahan mengenai dakwaan manipulasi kewangan, pembesaran hasil syarikat serta kewujudan lebih daripada satu set akaun dalaman.
Kes itu menjadi lebih serius apabila pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram. Skandal bernilai sekitar AS$300 juta itu turut menjejaskan reputasi beberapa pelabur antarabangsa termasuk SoftBank Group dari Jepun dan Temasek Holdings dari Singapura.
Di Malaysia, perhatian kini tertumpu kepada penglibatan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang dilaporkan melabur sekitar AS$47.7 juta atau hampir RM200 juta dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery sekitar Julai 2023. Pelaburan itu dibuat ketika syarikat tersebut sedang berada di kemuncak populariti dan baru mencapai status “unicorn” dengan naratif pertumbuhan yang sangat agresif dalam sektor teknologi akuakultur Asia Tenggara.
Pelaburan KWAP ke dalam eFishery berlaku ketika Datuk Nik Amlizan Mohamed masih memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP. Beliau mengetuai KWAP dari November 2020 sehingga Mac 2026. Apakah keputusan CEO ini adalah keputusan bersama Kementerian Kewangan Malaysia atau diputuskan sendiri oleh Lembaga Pengarah KWAP?

Dalam struktur institusi dana besar seperti KWAP, keputusan pelaburan berskala besar — khususnya melibatkan private equity, dana antarabangsa dan syarikat startup teknologi — lazimnya melalui beberapa lapisan tadbir urus yang ketat. Ia termasuk penilaian oleh pasukan due diligence, semakan Jawatankuasa Pelaburan, penglibatan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO), panel pelaburan serta kelulusan lembaga pengarah atau mandat pelaburan tertentu.
Namun begitu, persoalan kini mula tertumpu kepada peranan pengurusan kanan pelaburan KWAP ketika transaksi tersebut dibuat. Nama Hazman Hilmi Sallahuddin yang dikaitkan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) KWAP sekitar tempoh pelaburan eFishery mula disebut-sebut dalam perbincangan media sosial dan komuniti kewangan.

Hazman Hilmi Sallahuddin yang ketika itu memegang jawatan CIO KWAP dilihat antara individu penting dalam pembentukan strategi pelaburan berisiko tinggi dana pencen tersebut ke dalam ekosistem startup dan private equity Asia Tenggara termasuk eFishery. Sebagai CIO, beliau lazimnya memainkan peranan utama dalam menilai cadangan pelaburan, mengetuai proses due diligence, memberi syor kepada jawatankuasa pelaburan serta menyelaras strategi aset alternatif institusi. Pelaburan bernilai kira-kira RM200 juta ke dalam eFishery itu kini menjadi antara episod paling memalukan selepas unicorn Indonesia tersebut runtuh akibat skandal pecah amanah, manipulasi kewangan dan pengubahan wang haram yang menggemparkan dunia pelaburan serantau.
Berdasarkan amalan biasa institusi dana besar, CIO memainkan peranan yang amat penting dalam keseluruhan proses pelaburan termasuk menilai cadangan pelaburan, mengetuai proses due diligence, memberi syor kepada jawatankuasa pelaburan serta memantau strategi aset termasuk pelaburan private equity. Memandangkan pelaburan eFishery dibuat sekitar Julai 2023 ketika Hazman Hilmi Sallahuddin masih berada dalam struktur pengurusan pelaburan KWAP, adalah munasabah untuk mengandaikan beliau berkemungkinan terlibat dalam proses penilaian dan pengurusan pelaburan tersebut di peringkat dalaman.
Perkembangan ini menyebabkan timbul gesaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap proses kelulusan pelaburan eFishery termasuk aspek tadbir urus, pematuhan prosedur pelaburan dan keberkesanan proses due diligence yang digunakan ketika itu.
Walaupun kerugian sekitar RM200 juta itu mungkin hanya mewakili kira-kira 0.1% daripada keseluruhan dana KWAP yang dianggarkan sekitar RM200 bilion, jumlah tersebut tetap dianggap besar kerana ia melibatkan dana persaraan sektor awam dan wang rakyat.
Malah, jumlah itu hampir empat kali ganda lebih besar daripada kerugian kontroversi pelaburan FashionValet yang sebelum ini melibatkan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Apa yang lebih membimbangkan ialah skandal eFishery didakwa melibatkan manipulasi kewangan yang berlaku beberapa tahun sebelum pelaburan institusi besar dibuat. Ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan sama ada semua proses semakan risiko benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh atau sekadar bergantung kepada naratif pertumbuhan dan penilaian tinggi syarikat startup tersebut.
Dalam keadaan kerajaan kini berdepan tekanan fiskal, peningkatan kos pencen sektor awam dan beban subsidi negara yang semakin besar, setiap keputusan pelaburan melibatkan dana institusi awam pasti akan dinilai dengan lebih teliti oleh rakyat.
Kes eFishery akhirnya menjadi satu peringatan besar bahawa dalam dunia startup moden dan private equity, pertumbuhan pantas serta status “unicorn” tidak semestinya mencerminkan kekuatan sebenar sesebuah perniagaan. Dan apabila pelaburan melibatkan wang rakyat, persoalan mengenai akauntabiliti, tadbir urus dan ketelusan tidak boleh dipandang ringan.
