
Krisis undang-undang yang menghantui projek Lebuhraya Putrajaya–KLIA (MEX II) terus meruncing apabila Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dan bekas pengarah MEX II Sdn Bhd, Yap Wee Leong, dijangka didakwa lagi dalam tempoh terdekat.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib, Abu Sahid akan berdepan tujuh pertuduhan baharu bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 Kanun Keseksaan, melibatkan RM145 juta.
Yap pula dijangka dikenakan 18 pertuduhan – sembilan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dengan jumlah RM209 juta, dan sembilan lagi di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001 membabitkan RM387 juta.
“Hari ini sahaja, Abu Sahid dituduh atas empat pertuduhan pecah amanah bernilai kira-kira RM313 juta serta 13 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM139.2 juta,” kata Ahmad Akram.
Progress Claim Palsu
Siasatan mendapati Yap menggunakan 17 dokumen tuntutan kerja (progress claim) palsu antara Jun 2017 hingga April 2018. Tuntutan itu melibatkan kerja tanah, saliran, cerun dan pembinaan subgred untuk MEX II, dengan nilai antara RM9 juta hingga RM28 juta setiap satu. Jumlah keseluruhan tuntutan palsu dianggarkan melebihi RM314 juta.

Keluarga Abu Sahid Turut Terpalit
Isteri Abu Sahid, Noor Azrina Mohd Azmi, 48, juga tidak terkecuali. Beliau sebelum ini didakwa menerima RM67.1 juta daripada hasil aktiviti haram berkaitan projek lebuh raya tersebut.

Sebut Semula Kes
Mahkamah menetapkan 3 November untuk sebutan semula kes Abu Sahid dan Yap, selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.