
10 Julai lalu sekali lagi media melaporkan SPRM menyita Banglo mewah, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf antara hartanah bernilai RM620 juta milik Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu dalam siasatan Op Fibre membabitkan kelulusan pembiayaan pinjaman institusi perbankan.
Sebelum ini Datuk Wira Ranjeet direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penyelewengan dana projek pembangunan rangkaian fibre pada tahun 2012 bernilai kira-kira RM400 juta dan memasukkan wang bernilai kira-kira RM75 juta dalam akaun peribadinya.
Menurut sumber, sehingga kini SPRM juga sudah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan.
“Hartanah yang disita ini seperti banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf yang terletak di sekitar Lembah Klang berjumlah kira-kira RM620 juta di mana suspek juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf berkenaan, selain menyita empat unit kenderaan mewah yang bernilai kira-kira RM2 juta.
“Sehingga kini, SPRM juga membekukan sebanyak 72 akaun yang meliputi akaun persendirian dan syarikat berjumlah melibatkan nilai kira-kira RM390,000,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan maklumat dan berkata, notis Pengisytiharan Harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada suspek dan 23 individu mulai 10 Julai lalu.
Pada 30 Jun lalu, BOK menggeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di Selangor dan Kuala Lumpur.
Melalui operasi itu, SPRM membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000.
Sebelum ini, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.
‘Scammer’ terkenal
Datuk Wira Ranjeet memang terkenal dengan kes penipuan sehingga berlambak laporan polis. Selaku bekas Pengarah Urusan Kumpulan Zavarco, Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu menjadi individu yang mendapat penghakiman muktamad dari mahkamah di Malaysia dan United Kingdom.
Beliau didakwa atas pelbagai kesalahan korporat dan penyelewengan dana termasuk kes pecah amanah yang menyaksikan beliau juga merupakan pengasas dan pengarah semasa kumpulan Vascory, kumpulan 3Lyon dan pemilik dan pengawal benefisial Kuber Venture Berhad.
Penghakiman yang disenarai antaranya termasuk tertuduh bersalah dibawah akta jenayah UK atas kesalahan mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) sebanyak €101.5 juta (RM 512 juta) kepada dirinya tanpa membayar balasan tunai.
Penghakiman mutlak dalam kes ini di Mahkamah Tinggi UK mengarahkan Ranjeet Singh Sidhu membuat bayaran €101.5 Juta termasuk faedah.
Selain itu, bagi 2 kes lainnya adalah tertakluk kesalahan jenayah di Malaysia iaitu penghakiman sebanyak RM29 juta (tidak termasuk faedah) dalam kes diantara Zavarco Berhad lawan Ranjet Singh Sidhu di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana secara salah memanipulasi akaun Zavarco Berhad untuk menuntut wang bagi dirinya sendiri sebagai bayaran balik untuk pendahuluan pengarah.
Penghakiman RM61 juta (termasuk ganti rugi punitif dan teladan tetapi tidak termasuk faedah) dalam kes Zavarco plc lawan Ranjeet Singh Sidhu di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana melesapkan RM12 juta wang pelabur ke dalam akaun peribadinya.
Tertuduh kini berdepan dengan beban tuntutan yang besar apabila keputusan Mahkamah Tinggi UK dalam kes terhadapnya memerintahkan beliau membayar €84 juta dan faedah tambahan kira-kira €17.5 juta kepada Zavarco plc, yang diterjemahkan kepada penghakiman lebih RM500 juta dalam kadar pertukaran matawang semasa.
Sita Kelab Golf
Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu selaku pengarah Vascory Group di Malaysia pernah terlibat dalam dunia golf melalui syarikatnya, Vascory Land Sdn Bhd / Vasseti / Zavarco merupakan 51% pemegang saham utama Templer Park Country Club di Rawang dengan kerjasama syarikat Jepun Kyowa Kanko Kaihatsu. Namun pada tahun 2014 kes menjadi lebih rumit selepas Kyowa Kanko Kaihatsu menuntut kembali kepentingannya 51%.

Namun Kelab Golf bernilai ratusan juta ini turut disita SPRM.

Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu memang banyak memanipulasi saham, syarikat dan menyeleweng dana projek. Bank Pembangunan dalam projek fiber pun berjaya ditipunya. Dia dilaporkan melakukannya bersama dengan Tan Sri Rashpal Singh bekas Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang banyak menolong Datuk Wira Ranjeet