KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kerugian kira-kira RM200 juta yang ditanggung Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) menerusi pelaburannya dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan menyeluruh berhubung kes berkenaan telah dimulakan sejak semalam dan akan dilaksanakan secara adil, telus serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau menjejaskan integriti proses siasatan.
“SPRM komited memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus dan saksama. Orang ramai juga diminta memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat mengesahkan bahawa pelaburan KWAP dalam eFishery terjejas akibat penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan.
Kementerian itu berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah susulan dengan memulakan tindakan undang-undang, meneruskan usaha mendapatkan semula dana, menjalankan semakan terhadap tatakelola dalaman serta memperkukuh mekanisme kawalan pelaburan.
Kontroversi eFishery mendapat perhatian antarabangsa selepas timbul dakwaan bahawa penyata kewangan syarikat itu dimanipulasi sehingga hasil dan prestasi operasinya dilaporkan jauh lebih tinggi berbanding keadaan sebenar.
Pada Mei lalu, media turut membangkitkan lebih awal skandal pelaburan berkenaan dan menggesa SPRM menyiasat proses kelulusan serta pihak yang bertanggungjawab ketika pelaburan dibuat, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Nik Amlizan Mohamed dan Ketua Pegawai Pelaburannya ketika itu, Hazman Hilmi Sallahuddin.
SPRM perlu menyiasat Lembaga Pengarah dan pegawai KWAP yang terlibat. Penubuhan pasukan khas SPRM membuka ruang untuk pihak berkuasa meneliti sama ada pelaburan itu sekadar berpunca daripada penipuan pihak luar atau turut membabitkan kelemahan penelitian wajar, pelanggaran tatakelola, salah guna kuasa atau kecuaian dalam proses membuat keputusan.
Pengakuan Menteri Kewangan di Parlimen bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan menimbulkan persoalan serius mengenai bagaimana pelaburan kira-kira AS$47.7 juta, bersamaan hampir RM200 juta, diluluskan dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada Julai 2023.
Siasatan SPRM kini dijangka memberi tumpuan kepada proses penilaian pelaburan, laporan penelitian wajar, peranan jawatankuasa pelaburan serta pegawai yang mencadangkan, menilai dan meluluskan transaksi tersebut.
Persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada semua risiko telah didedahkan kepada pembuat keputusan dan sama ada terdapat sebarang amaran yang diabaikan sebelum wang dana persaraan itu disalurkan kepada eFishery.
