PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada bekas Menteri Sumber Manusia M Saravanan, isterinya dan tiga anak mereka pada Isnin ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009. Mereka akan diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan pengisytiharan harta.
“Mereka akan hadir di SPRM untuk menerima notis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Menurut Halim, SPRM akan memberi masa yang mencukupi kepada seorang anak Saravanan yang sedang belajar di London untuk memenuhi keperluan pengisytiharan tersebut.
Pada 28 Ogos lalu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta yang dikaitkan dengan kelulusan kuota pekerja asing kira-kira empat tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima wang daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, melalui Syed Amirul Syed Ahmad sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd ketika menjawat jawatan menteri sumber manusia.

Mahkamah membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin dan tidak menyita pasportnya. Beliau turut diarahkan melapor diri kepada SPRM setiap tiga bulan serta tidak mengganggu saksi, sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 September.
Saravanan, Dato’ Amin Bangla, Dato’ Malik dan Dato’ Wira Shahul Hameed Dawood adalah empat pihak yang saling berkaitan anatara satu sama lain yang pernah dibangkitkan oleh Corporate Secret sebelum ini.
