
Ahli perniagaan kontroversi G Gnanaraja 23 Julai lalu memberitahu Mahkamah Sesyen Syarikat Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd miliknya digunakan untuk membuat pembayaran rasuah kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Gnanaraja, 44, dalam keterangannya selaku saksi pendakwaan ke-37, berkata Ahli Parlimen Bagan itu juga menyuruhnya untuk menyediakan dan membuka akaun bank syarikat berkenaan yang ditubuhkan pada 10 Ogos 2016.
Pemilik syarikat kenderaan itu yang membacakan pernyataan saksinya berkata, bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memilihnya sebagai perantara untuk penyerahan wang kepada Guan Eng atas kepercayaan lelaki itu kepadanya dan beliau tidak bersangkut paut dengan mana-mana parti pembangkang ketika itu.
Zarul berkata, semua permintaan bagi penyediaan syarikat dan akaun bank telah berlaku ketika beliau berada bersama Guan Eng dalam kereta, dalam perjalanan ke pusat beli belah Publika di Jalan Dutamas pada 20 Ogos 2017.
Ada akses penuh akaun CIMB
Beliau mempunyai akses penuh ke atas akaun syarikat kerana hanya dia seorang sahaja yang boleh membuat pengeluaran wang, dan syarikat hanya mempunyai satu akaun iaitu Akaun CIMB Bank Berhad.
“Berhubung dengan Borang 49 Syarikat Bumi Muhibah Holding Sdn Bhd, setahu saya di dalam Borang 49 ada dinyatakan butiran berkaitan pengarah, pengurus dan setiausaha.
“Guan Eng pernah melihat Borang 49 Bumi Muhibah ketika beliau berada di kediaman saya pada 29 Ogos 2017.
Beliau ingin melihat borang itu untuk mendapatkan keyakinan atas segala urusan pengurusan dan penyediaan dokumen syarikat khususnya borang itu.
“Ini adalah kerana dalam Borang 49 ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua pengarah syarikat adalah individu berbangsa Melayu,” katanya.
Gnanaraja jelaskan terima RM2 juta daripada Zarul Ahmad
Gnanaraja menjelaskan kepada mahkamah bagaimana beliau menerima wang keseluruhan berjumlah RM2 juta daripada Zarul Ahmad, yang juga saksi penting kes rasuah berhubung projek jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi Guan Eng.
Menurut Gnanaraja, pada jam 5 petang, 18 Ogos 2017, beliau menerima panggilan telefon daripada Zarul Ahmad yang memintanya hadir ke Hotel Eastin Petaling Jaya pada jam 6 petang.
Beliau berkata, ketika tiba di lobi Hotel Eastin, beliau melihat Zarul Ahmad telah tiba dan berada dalam kereta di perkarangan lobi.
“Kemudian, Zarul Ahmad turun dari kereta dan mengeluarkan dua buah beg berwarna gelap dan terus meletakkan ke dalam but kereta saya. Beg yang dikeluarkan dari keretanya berwarna gelap dan mempunyai pemegang tangan.
“Pada masa itu, Zarul Ahmad memakai baju berwarna putih dan berseluar hitam. Saya tahu kandungan beg adalah berisi wang kerana beliau mengatakan “1M” (sambil meletakkan beg pertama) dan “1M” (sambil meletakkan beg yang kedua). 1M yang disebut, saya tahu merujuk kepada 1 Million (1 juta).
“Saya kemudian kembali ke kediaman saya lebih kurang 10 minit selepas meninggalkan Hotel Eastin. Saya telah mengangkat sendiri kedua-dua beg berwarna gelap yang diterima untuk disimpan dalam bilik kerja saya,” katanya.
Simpan RM2 juta dalam bilik khas
Gnanaraja berkata, ketika membawa kedua-dua beg berisi wang tunai itu ke dalam rumah dan seterusnya menuju ke bilik kerja, tiada orang lain melihatnya dan bilik berkenaan sentiasa dikunci, di mana hanya dia seorang mempunyai kuncinya.
Beliau berkata, tiada ada orang lain yang dapat masuk ke bilik itu kecuali dengan kehadirannya. Beliau ada membuka kedua-dua beg untuk mengenal pasti bahawa ia berisi wang seperti yang diberitahu Zarul Ahmad.
“Saya melihat dalam beg tersebut terdapat ikatan wang tunai not RM100 yang banyak. Saya tidak mengira ikatan wang dalam kedua-dua beg itu.
Saya sahkan beg hanya berada dalam bilik kerja saya tanpa dialihkan ke mana-mana sehingga saya menerima panggilan daripada Zarul Ahmad pada 20 Ogos 2017.
“Saya difahamkan satu beg berisi wang RM1 juta perlu diserahkan kepada Guan Eng kerana beliau sudah berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Gnanaraja berkata, beliau kemudian menerima panggilan telefon daripada Zarul Ahmad pada sebelah pagi 20 Ogos 2017 yang memaklumkan supaya bersiap sedia bersama satu beg berisi wang RM1 juta yang telah beliau terima pada 18 Ogos 2017 di Hotel Eastin.
Zarul Ahmad memaklumkan, mereka akan ke sekitar Hotel Wen Worth, Pudu untuk mengambil Guan Eng.
Ketika tiba sekitar hotel itu, beliau melihat Guan Eng yang memakai baju rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang berwarna putih berlogo kerajaan negeri Pulau Pinang berjalan masuk ke kereta Zarul Ahmad.

“Semasa di dalam kereta, Guan Eng telah menyapa kami dan bertanya khabar saya dan Datuk Zarul. Guan Eng ada beritahu saya, sebenarnya beliau ingin mengaturkan pertemuan saya bersama seorang individu bernama Datuk Ewein terlebih dahulu tetapi beliau ingin duduk bersama saya dahulu untuk membincangkan urusan kewangan sulit yang akan disalurkan kepadanya,” katanya.
Kenal Guan Eng menerusi Zarul Ahmad
Menyentuh mengenai perkenalannya dengan Guan Eng, Gnanaraja berkata beliau mengenali pemimpin politik itu melalui Zarul Ahmad.
Menurut saksi itu, beliau mula mengenali Guan Eng dan berjumpa dengannya ketika perjumpaan dalam kereta bersama Zarul Ahmad pada 20 Ogos 2017 menuju ke Hotel Wen Worth, Pudu, Kuala Lumpur ke Publika.
Gnanaraja berkata, pada 10 Ogos hingga 19 Ogos 2017, beliau dan Zarul Ahmad sering berhubung berkaitan dengan perbincangan untuk menjadikan dirinya sebagai penyerah wang rasuah daripada Zarul Ahmad kepada Guan Eng.

Gnanaraja berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion membabitkan Guan Eng.
Guan Eng dituduh terima rasuah RM3.3 juta
Guan Eng yang didakwa dengan tuduhan pindaan pertama iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2 pagi pada Mac 2011.
Selain itu, beliau turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 Ogos ini.