KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Dato’ Seri Nazir Hussin bin Akhtar Hussin, bersama abangnya, Datuk Wira Mubarak Hussain bin Akhtar Husin, direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kedudukan dalam urusan pelaburan kira-kira RM10 juta.
Mubarak merupakan pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai ejen pelaburan buat pengerusi Yayasan Bank Rakyat.
Perintah reman sehingga 5 Oktober dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 9 malam pada 30 September ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Menurut laporan mengenai siasatan itu, kedua-dua suspek disyaki bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan bagi meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta pada penghujung 2020. Dana berkenaan dipercayai disalurkan kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada salah seorang suspek.
SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan dua tokoh korporat berkenaan dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Kenyataan yang dilaporkan itu tidak menamakan suspek atau yayasan terbabit.
Pendedahan 2023 dan penafian Nazir
Pendedahan skandal Nazir Akhtar Hussin bukan baharu kerana ogos 2023 The Corporate Secret dan Edisi Siasat telah membangkitkan dakwaan mengenai pelaburan RM11 juta dana Yayasan Bank Rakyat ketika Nazir memegang jawatan pengerusi.

Laporan tersebut mempersoalkan kelulusan pelaburan ke sebuah institusi di Singapura serta mendakwa wujud kepentingan komisen daripada pelaburan itu.
Dalam artikel yang sama, turut dibangkitkan kontroversi projek Silverlake–Bank Rakyat bernilai RM571 juta. Kes skandal Silverlake Bank Rakyat dan pelaburan RM10 juta itu ditutup oleh Tan Sri Azam Baki melalui proksinya Datuk Aminuddin Mustapha (Amin Botak).
Nazir bagaimanapun menafikan dakwaan berhubung pelaburan yayasan tersebut dan membuat laporan polis.

Penahanan terbaharu SPRM di bawah kepimpinan Datuk Seri Abd Halim menunjukkan kes yang ditutup Azam Baki kini mula dibuka semula.
