KUALA LUMPUR — Penahanan dan reman Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes penipuan dan penyelewengan pelaburan melebihi RM300 juta telah mencetuskan gelombang persoalan besar dalam kalangan pemerhati pasaran dan masyarakat awam.
Lebih memburukkan keadaan, SPRM turut menyita aset bernilai RM9.7 juta, termasuk hartanah dan akaun kewangan, sekali gus mengesahkan bahawa siasatan ini bukan bersifat kecil atau teknikal — tetapi melibatkan kerugian besar pelabur dan aliran dana berskala besar.
Namun, ketika fokus penguatkuasaan tertumpu kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, satu persoalan mendasar terus menghantui kes ini:
Mengapa pengasas dan pengarah Quantum Metal Sdn Bhd — Dato’ Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng — tidak pernah ditahan atau didakwa, walaupun syarikatnya dikaitkan dengan pelbagai amaran, laporan polis, teguran BNM dan tindakan Suruhanjaya Sekuriti (SC)?

Kes RM300 Juta: Apa Yang Sudah Berlaku Setakat Ini
Berdasarkan laporan terkini portal pendedahan korporat, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah:
- Direman oleh SPRM bagi membantu siasatan kes penipuan/pengeliruan pelaburan melebihi RM300 juta
- Aset peribadi bernilai RM9.7 juta disita, termasuk rumah dan akaun bank
- Disiasat di bawah kerangka kesalahan berkaitan penyelewengan, salah nyata pelaburan dan aliran dana
Kes ini kini menjadi antara siasatan pelaburan terbesar yang dikendalikan SPRM dalam tempoh terkini, dengan implikasi besar terhadap keyakinan pasaran sebagaimana juga kes rasuah dan pengubahan wang haram berlindung atas syarikat korporat.
Namun, pendedahan ini menimbulkan paradoks penguatkuasaan yang sukar diabaikan.
Quantum Metal: Sejarah Panjang Teguran, Tetapi Tiada Pendakwaan
Sebelum kes Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar meletup, Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) sudah lama berada dalam radar pengawal selia.
Fakta yang telah direkodkan secara terbuka:
1. Bank Negara Malaysia (BNM)
Bank Negara Malaysia (BNM) telah secara terbuka menegaskan bahawa Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB tidak pernah dilesenkan atau diluluskan oleh BNM bagi menjalankan sebarang aktiviti pelaburan. Penafian ini dikeluarkan susulan dakwaan berulang bahawa operasi Quantum Metal kononnya mendapat pengiktirafan atau kelulusan bank pusat negara itu.

BNM turut menjelaskan bahawa sebarang penggunaan nama atau logo BNM sebagai legitimasi pelaburan adalah palsu dan mengelirukan, serta berpotensi menipu orang awam. Menurut BNM, QMSB hanya diklasifikasikan sebagai entiti jual beli emas dan logam berharga yang tertakluk kepada keperluan pelaporan di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram (AMLA), bukan sebagai institusi kewangan atau pelaburan yang dikawal selia oleh BNM.
2. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula telah mengambil tindakan penguatkuasaan apabila mengeluarkan arahan henti serta-merta (cease and desist) terhadap Quantum Metal Exchange Inc, sebuah entiti berkaitan, kerana didapati menawarkan saham kepada orang awam tanpa lesen atau pendaftaran yang sah di bawah undang-undang pasaran modal Malaysia.
Selain itu, SC turut meletakkan entiti berkaitan Quantum Metal dalam Senarai Makluman Pelabur (Investor Alert List) sebagai amaran kepada orang awam agar berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang dikaitkan dengan kumpulan tersebut. Tindakan ini menunjukkan kebimbangan serius pihak berkuasa terhadap risiko kepada pelabur runcit.
3. Laporan Polis & Aduan Awam
Di peringkat awam, pelbagai laporan polis telah dibuat oleh pelabur yang mendakwa mengalami kerugian atau berdepan kesukaran mengeluarkan wang pelaburan daripada skim yang dikaitkan dengan Quantum Metal. Aduan ini merangkumi dakwaan kelewatan pembayaran, perubahan syarat pengeluaran, serta maklumat yang tidak konsisten mengenai status pelaburan.
Nama Quantum Metal juga kerap muncul dalam naratif aduan awam dan laporan media alternatif, termasuk portal pendedahan dan perbincangan pelabur di platform media sosial. Walaupun tidak semua aduan ini disahkan melalui pendakwaan mahkamah, jumlah dan konsistensinya telah menimbulkan kebimbangan berterusan mengenai ketelusan dan kelestarian skim tersebut.
4. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Dari sudut pematuhan cukai dan kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengambil langkah serius dengan memfailkan petisyen penggulungan terhadap Quantum Metal Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi. Petisyen penggulungan lazimnya difailkan apabila sesebuah syarikat gagal memenuhi obligasi kewangan atau cukai yang ketara.

Namun begitu, status penggulungan tersebut kemudiannya dilaporkan ditangguhkan atau ditarik balik, tanpa penjelasan awam yang terperinci mengenai asas penyelesaian atau pematuhan yang telah dicapai. Ketiadaan penjelasan rasmi ini terus mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati mengenai keadaan sebenar kewangan syarikat berkenaan.

Mengapa tidak Dato’ Lim Khong Soon?
Namun, di sebalik semua tindakan pengawalseliaan dan kebimbangan awam yang telah direkodkan, satu hakikat kekal tidak berubah. Setakat ini, tiada pendakwaan jenayah dikenakan terhadap Dato’ Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng, pengasas dan pengarah Quantum Metal Sdn Bhd. Tiada reman diumumkan, tiada sitaan aset didedahkan kepada umum, dan tiada pertuduhan di mahkamah jenayah yang melibatkan beliau, walaupun entiti yang diasaskannya telah beberapa kali ditegur oleh pihak berkuasa kewangan dan pernah berdepan petisyen penggulungan.
Dalam konteks keadilan dan tadbir urus korporat, keadaan ini telah mencetuskan persoalan kritikal yang semakin lantang dipersoalkan. Jika benar kerugian pelaburan mencecah sekitar RM300 juta, jika skim pelaburan tersebut dipasarkan melalui rangkaian ejen dan entiti tertentu, dan jika Quantum Metal sendiri pernah dikenakan tindakan serta amaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), maka timbul persoalan mengapa hanya satu individu berprofil tinggi ditahan dan disiasat secara terbuka, sedangkan pengasas entiti yang sejak sekian lama dikaitkan dengan kontroversi dan aduan awam kekal bebas tanpa sebarang tindakan jenayah yang diumumkan. Lebih membingungkan, pengasas Quantum Metal itu sendiri bukan nama baharu dalam landskap aduan pelaburan bermasalah, sekali gus menambah tekanan terhadap pihak berkuasa untuk menjelaskan pendekatan penguatkuasaan yang diambil secara telus dan menyeluruh.
Dato’ Lim Khong Soon – Kebal Undang-Undang?
Ketiadaan tindakan terhadap Dato’ Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng telah mencetuskan persepsi berbahaya:
- Bahawa penguatkuasaan bersifat terpilih
- Bahawa individu tertentu dilindungi oleh struktur korporat, proksi, atau lapisan undang-undang
- Bahawa tindakan regulator (BNM, SC) tidak semestinya membawa kepada tindakan jenayah (SPRM, AGC)
Dalam kes Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, SPRM bertindak pantas. Mungkin dalam Quantum Metal SPRM boleh menahan atau mereman Dato’ Lim Khong Soon.
Isu Lebih Luas: Rangkaian Pelaburan Menipu Lain Masih Bebas
Lebih merisaukan, Quantum Metal bukan satu-satunya kes. Januari lalu media melaporkan statistik rasmi menunjukkan lebih 9,000 rakyat Malaysia kerugian lebih RM1.37 bilion pada 2025 kerana skim pelaburan yang tidak wujud — semuanya tanpa produk atau entiti sebenar di belakangnya
Corak yang diperhatikan dalam kes ini selari dengan beberapa skim pelaburan besar yang pernah menggegarkan negara sebelum ini, termasuk JJPTR, i-Serve, MBI -Teddy Teow , XFOX Market serta pelbagai skim emas terdahulu.
Skim pelaburan MBI misalnya dipercayai telah menjerat sekitar 11 juta mangsa di seluruh dunia, melibatkan pelabur dari pelbagai negara termasuk China. Skala penipuan ini turut disokong oleh tindakan penguatkuasaan di dalam negara, apabila aset bernilai melebihi RM6.65 bilion telah dibekukan atau dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia, sekali gus menjadi bukti kewangan nyata terhadap kewujudan dan keluasan skim tersebut. Di peringkat antarabangsa pula, terdapat laporan komuniti dan media alternatif yang menyebut anggaran kerugian di China mencecah sekitar 500 bilion yuan, bersamaan kira-kira RM300 bilion. Walaupun angka ini masih belum disahkan melalui audit rasmi atau pengumuman kerajaan, ia tetap mencerminkan magnitud potensi kerugian sebenar yang jauh lebih besar daripada jumlah aset yang setakat ini berjaya disita.

Nama-nama lain dalam dunia pelaburan melibatkan taikun bergelar datuk dan tan sri-tan sri yang kini sedang disiasat dalam Skim MBI oleh pihak polis
Namun agak luar biasa kali ini kes Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar disiasat SPRM dalam skim penipuan pelaburan mencecah RM300 juta bukan kes rasuah. Kes ini mungkin hanya puncak gunung ais, sementara rangkaian lebih besar seperti Quantum Metal tidak pernah diambil Tindakan.
