PUTRAJAYA, 29 Januari 2026 — Penahanan Dato’ Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar Ketua Pengarah dan Dr Norhazni, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sekadar perkembangan siasatan biasa. Ia merupakan satu pengesahan rasmi bahawa skandal e-waste di Malaysia telah menembusi lapisan tertinggi pengawal selia, melibatkan keputusan dasar, pelesenan, penguatkuasaan serta kemungkinan perlindungan dari peringkat atasan.
Apabila dua jawatan tertinggi dalam JAS ditahan serentak bagi membantu siasatan, mesejnya jelas: isu e-waste bukan lagi salah laku di lapangan, tetapi mencerminkan kegagalan tadbir urus di peringkat tertinggi institusi yang sepatutnya menjadi benteng perlindungan alam sekitar negara.


Mereka menjadi pengkhianat dan mensabotaj operasi serbuan SPRM apabila membocorkan semua maklumat operasi kepada Syarikat
Hari ini Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) masing-masing direman tujuh hari hingga Khamis depan. Seorang lagi orang awam pula direman tiga hari hingga Ahad ini membabitkan siasatan sama.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman terhadap semua suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Daripada “NFA” ke Tangkapan Atasan: Apa Yang Berubah?
Selama bertahun-tahun, serbuan terhadap aktiviti e-waste mengikuti seolah-olah mengikut skrip yang sama. Rampasan diumumkan, siasatan dibuka, namun akhirnya kes berakhir dengan Tiada Tindakan Lanjut (NFA). Suspek dibebaskan, fail ditutup, dan operasi diteruskan seolah-olah tiada apa berlaku.Paling teruk diumumkan bayar kompaun sahaja.
Corak ini membentuk satu realiti berbahaya — bahawa risiko undang-undang adalah rendah walaupun nilai rampasan dan kerugian negara mencecah ratusan juta ringgit. Namun kali ini, apabila kepimpinan tertinggi JAS sendiri ditahan, naratif lama mula runtuh. Ia memberi isyarat bahawa siasatan telah naik ke peringkat yang selama ini dianggap kebal, iaitu peringkat yang meluluskan lesen, melonggarkan audit, dan menutup mata terhadap penyimpangan operasi. Pelbagai aduan dan pendedahan media sebelum ini namun semuanya dilindungi Ketua Pengarah.
Serbuan Besar, Kes Senyap- NFA
Pola “serbu–senyap–NFA” ini bukan perkara baharu. Dalam siasatan sindiket penyeludupan besi buruk bernilai ratusan juta ringgit, NationGate Solution (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh NationGate Holdings Berhad, telah mengesahkan premisnya diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada siasatan melibatkan penyeludupan logam lusuh dan dakwaan rasuah pegawai penguat kuasa. Namun selepas pengumuman awal dan liputan meluas, tiada pertuduhan difailkan dan kes akhirnya diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

22 januari lalu Nationgate mengumumkan bebas daripada siasatan LHDNM dan tindakan SPRM yang berkaitan kes ini telah selesai dari sudut pentadbiran.
Situasi hampir serupa turut melibatkan Shan Poornam Metals Sdn. Bhd milik Dato’ Seri Selvakumar yang dikaitkan dalam pendedahan sindiket besi buruk dengan anggaran kerugian hasil cukai eksport mencecah RM950 juta. Walaupun operasi serbuan dan siasatan pelbagai agensi diumumkan, perkembangan susulan tidak membawa kepada pendakwaan awam, mengukuhkan persepsi bahawa kes berskala besar berakhir tanpa kebertanggungjawaban. Dua contoh ini mengukuhkan kebimbangan bahawa NFA boleh menjadi penamat lazim kepada siasatan besar — sekali gus mengekalkan ekosistem berisiko tinggi tanpa pembetulan struktur.

BACA
“Full Recovery” Tetapi Bukan Smelter: Lesen Dijadikan Senjata
Teras skandal ini terletak pada penyalahgunaan lesen e-waste kategori “full recovery (preliminary)”, iaitu lesen yang tidak membenarkan aktiviti peleburan (smelting). Namun dalam realiti industri, lesen ini digunakan sebagai alat strategik untuk memintas penguatkuasaan.
Lesen tersebut berfungsi sebagai orang tengah untuk “mencuci” asal bahan, sebagai saluran transit sisa bernilai tinggi, dan sebagai perisai undang-undang bagi operasi yang menyimpang daripada tujuan asal pelesenan. Di atas kertas, operasi kelihatan patuh. Di lapangan, ia menyimpang. Di hujung rantaian, harta intelek global bocor tanpa kawalan.
Ini sebagaimana apa yang dinyatakan oleh YB Yeo Bee Yin Bekas Menteri Tenaga Teknologi Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar yang mempersoalkan dari mana produk E-Waste Malaysia begitu banyak di Malaysia jika tidak diimport oleh kartel dari luar negara.
Dedah Nama: Rantaian Kilang Berlesen, Risiko Tinggi
Siasatan skandal e-waste oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan beberapa syarikat e-waste berlesen yang didakwa mempunyai kaitan operasi dan rakan strategik antarabangsa. Antaranya ialah Jaring Metal Sdn. Bhd., yang merupakan sebahagian daripada kumpulan JAG Berhad, dengan penglibatan operasi diumumkan bersama Mitsubishi Materials Corporation.
Turut tersenarai ialah MEP Enviro Technology Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Pulau Pinang dan dikaitkan dengan syarikat Jepun Tanaka Kikinzoku, serta TES-AMM Sdn. Bhd., sebuah entiti pengurusan e-waste beribu pejabat di Singapura. Selain itu, siasatan turut merangkumi Reclaimtek (M) Sdn. Bhd. di Pulau Pinang dan Integrated Recycling Industries Philippines yang menjalankan operasi di negeri yang sama.
Nama Shan Poornam Metals Sdn. Bhd paling mendapat perhatian apabila diserbu dan didakwa berlindung di sebalik Cenviro Sdn. Bhd sebuah anak syarikat milik Khazanah Nasional. Turut disiasat ialah Cycle Trend Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Pulau Pinang, Krubong Recovery Sdn. Bhd. di Melaka, serta Hi-Tech Full Recovery Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kedah, sekali gus mencerminkan skala dan rangkaian luas isu e-waste yang kini berada dalam radar penguatkuasaan SPRM.

Isunya bukan semata-mata tentang siapa syarikat-syarikat ini, tetapi bagaimana lesen dan insentif digunakan sebagai pelindung, sementara audit serta penguatkuasaan gagal menembusi operasi sebenar di lapangan.
Cip Berpaten: Nilai Tinggi, Risiko Global
Bahaya terbesar dalam skandal ini ialah pengendalian cip semikonduktor berpaten yang sepatutnya dimusnahkan, tetapi didakwa tidak dihancurkan sepenuhnya. Cip-cip ini dicampurkan ke dalam dram sisa, diseludup keluar, dan kemudiannya dijual semula ke pasaran gelap antarabangsa.
Cip “rejected” ini mempunyai nilai yang sangat tinggi, mencecah ratusan hingga ribuan dolar AS per kilogram. Akibatnya, hak harta intelek global dicabuli, komponen tidak sah memasuki rantaian bekalan, dan keselamatan industri strategik dunia terdedah kepada risiko serius.
Sebagai perbandingan, Intel telah lama mewajibkan pemulangan cip yang ditolak ke negara asal, menutup ruang eksploitasi ini lebih sedekad lalu. Malaysia, sehingga kini, masih gagal melaksanakan pendekatan tegas yang sama.
Perlindungan Sistemik: Lesen, Insentif, Senyap
Apabila lesen digunakan di luar skop, insentif diberi tanpa ketelusan, audit dilonggarkan, dan kes-kes besar berulang kali berakhir dengan NFA, persoalan yang timbul tidak lagi boleh dielak. Adakah sistem ini gagal — atau sengaja dibiarkan gagal?
Penahanan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS oleh SPRM menguatkan syak bahawa perlindungan yang wujud bukan berlaku secara kebetulan, tetapi dibina melalui keputusan, kelulusan dan pembiaran dari peringkat tertinggi.
Malaysia vs Negara Lain
Sebagai perbandingan, Indonesia telah mengambil pendekatan lebih tegas dengan menamakan suspek, mendakwa eksekutif, dan menutup operasi berisiko tinggi. Malaysia pula lama terperangkap dalam kitaran serbuan kosmetik — sehingga tangkapan terbaru ini mula memecahkan tembok kebal yang sekian lama wujud.
Siapakah yang meluluskan lesen yang disalah guna? Siapakah yang melonggarkan audit dan pemeriksaan? Mengapa e-waste yang telah dirampas boleh muncul semula dalam rantaian import? Dan yang paling penting, siapa yang benar-benar untung daripada aliran ini? Sudah tentu pegawai tertinggi ialah Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah (operasi).

Tangkapan di peringkat atasan JAS jelas membuktikannya.
SPRM perlu bekerja keras heret kartel
Skandal e-waste Malaysia bukan kes terpencil. Ia adalah kegagalan sistemik yang telah lama dilindungi oleh lesen, senyap dan NFA. Penahanan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS oleh SPRM membuktikan bahawa naratif lama telah runtuh.
Persoalan sebenar sekarang ialah sama ada siasatan ini akan dibawa hingga ke akar — atau dihentikan sebelum sampai kepada mereka yang benar-benar berkuasa. Untuk negara, industri dan keselamatan global, kebenaran tidak boleh lagi disapu ke bawah karpet. Atau semua ini selesai dengan bayaran kompaun puluhan juta sahaja.
