Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, mendesak Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abdul Halim Aman, tampil menjelaskan perkembangan terkini siasatan terhadap dakwaan kewujudan kegiatan yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.
Gobind berkata sudah beberapa bulan berlalu sejak Jemaah Menteri pada Mac lalu mengarahkan supaya siasatan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana siasatan polis dan SPRM telah berkembang.
Menurut Gobind, rakyat berhak mengetahui status sebenar siasatan itu, termasuk tindakan konkrit yang telah dan akan diambil oleh agensi penguat kuasa.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada individu yang dipercayai mempunyai maklumat atau berpotensi membantu siasatan telah dipanggil memberikan keterangan.
Antara nama yang disebut secara khusus ialah ahli perniagaan Victor Chin Boon Long yang kini lari ke luar negara
Gobind mahu polis dan SPRM menjelaskan sama ada Victor Chin telah dipanggil untuk membantu siasatan serta sejauh mana keterangan individu berkaitan telah diperoleh bagi menentukan kebenaran dakwaan mengenai kegiatan ‘mafia korporat’ tersebut.
“Rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan semasa perkara ini dan apakah langkah konkrit yang akan diambil seterusnya bagi menangani isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Gobind turut meminta pihak berkuasa memberikan gambaran mengenai bila siasatan berkenaan dijangka dapat diselesaikan, memandangkan isu itu bukan sekadar membabitkan pertikaian antara pemain korporat tetapi berpotensi memberikan kesan terhadap reputasi institusi penguatkuasaan serta keyakinan pelabur.
Menurutnya, dakwaan tersebut membawa implikasi besar kepada kepentingan awam dan turut mempunyai dimensi antarabangsa.
“Perkara ini merupakan isu berkepentingan awam yang besar dengan implikasi antarabangsa yang ketara yang akan menjejaskan keyakinan pasaran, menjadikannya isu nasional yang menuntut tindakan segera dan tegas,” katanya.
Dakwaan ‘mafia korporat’ cetus kontroversi
Kontroversi berkenaan tercetus selepas Bloomberg dan apa yang telah dicetuskan portal The Corporate Secret sejak 2023 yang mendakwa wujud rangkaian yang menggunakan taktik tekanan terhadap tokoh korporat dan pemegang saham
Laporan berkenaan antara lain mendakwa terdapat pegawai SPRM yang dikaitkan dengan kegiatan tersebut, termasuk dakwaan penggunaan tindakan penguatkuasaan seperti serbuan sebagai alat tekanan terhadap eksekutif perniagaan supaya melepaskan atau menjual pegangan saham mereka.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, yang menyifatkannya sebagai tidak berasas namun fakta yang didedahkan sebelum ini seperti laporan polis dan aduan pemegang
Victor Chin juga sebelum ini menafikan bahawa beliau merupakan sebahagian daripada kegiatan ‘mafia korporat’.
Pada Mac lalu, Chin dilaporkan mengakui bahawa penggunaan taktik seperti ‘mafia’ untuk memaksa pengambilalihan syarikat sememangnya boleh berlaku dalam dunia korporat, namun menegaskan bahawa beliau adalah mangsa ‘Farhash’ dan bukannya pelaku kegiatan sedemikian. Beliau menamakan Mr R atau Mr Ruben daripada Hietech Padu sebagai penggerak cubaan rampasan syarikat
Justeru, desakan terbaru Gobind kini meletakkan perhatian kembali kepada polis dan SPRM untuk menjelaskan apakah hasil siasatan sejak arahan Jemaah Menteri diberikan.
Persoalan utama kini ialah siapa yang sudah dipanggil memberikan keterangan, apakah dakwaan yang telah dapat disahkan atau disangkal, sama ada Victor Chin sendiri telah dipanggil membantu siasatan, dan bila hasil siasatan itu akan dimuktamadkan.
Bagi Gobind, selepas tempoh beberapa bulan diberikan kepada agensi penguat kuasa, isu sebesar ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa perkembangan yang jelas kepada masyarakat.
Jika dakwaan ‘mafia korporat’ itu tidak berasas, hasil siasatan perlu menjelaskannya. Jika terdapat bukti berlakunya kesalahan pula, tindakan undang-undang perlu menyusul. Apa yang dituntut sekarang ialah kejelasan mengenai kedudukan sebenar siasatan yang telah diarahkan oleh Jemaah Menteri sejak Mac lalu.
